Peribadi mulia Rasulullah sebagai rujukan, elak taksub melulu

MAULIDUR Rasul atau hari keputeraan Nabi Muhammad SAW yang disambut 12 Rabiulawal setiap tahun seharusnya bukan sekadar dijadikan rutin tahunan. Lebih dari itu ia sepatutnya mencetuskan satu iltizam umat Islam untuk terus memupuk rasa cinta dan menjadikan Baginda pemandu cara hidup.

Acara sambutan dengan perarakan yang gilang-gemilang tidak salah diadakan, tetapi perkara yang penting dari Maulidur Rasul adalah bagaimana untuk membawa tumpuan khalayak menghayati keperibadian Nabi junjungan sekalian umat Islam.

Dalam keadaan masyarakat amat cepat taksub dengan segelintir “pempengaruh” media sosial atau ikon berimej agama yang menjadi sumber rujuk kehidupan; dan akhirnya terpedaya apabila mendapati pujaan hati itu terlibat gejala sosial atau mendakyah ajaran sesat, masyarakat perlu dipalingkan pandangannya kepada peribadi terhebat iaitu Baginda Rasulullah SAW.

Tiada tokoh dalam kalangan manusia yang sehebat Nabi Muhammad SAW daripada segala sudut; pemikiran, kepimpinan dan tingkah laku yang terpuji sekalipun ketika berdepan dengan musuh yang mahu menghapuskan Baginda. Nabi Muhammad bukanlah Man of the Year tetapi pemimpin unggul sepanjang zaman.

Peribadi Rasulullah SAW yang telah mendapat pengiktirafan secara nyata oleh Allah SWT melalui firmannya dalam Surah Ali ‘Imran: 31 yang bermaksud, “Katakanlah, jika kamu kasihkan Allah ikutlah aku nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Slogan Sambutan Maulidur Rasul TV AlHijrah 1445 “Perpaduan Teras Malaysia Madani” mengajak masyarakat mengimbau model konsep negara bertamadun acuan Rasulullah SAW.

Mendepang realiti masa kini kita di mana terbentang pelbagai krisis lunturnya sifat-sifat terpuji dalam kalangan masyarakat mahupun sesetengah pemimpin dunia Islam, Nabi Muhammad wajib ditonjolkan sebagai petunjuk dan rujukan untuk memandu ke jalan yang diredai Allah.

Wujudnya sesetengah pemimpin Islam dan umat Islam yang tidak mengikut lunas kepimpinan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW, sudah tentulah wujud pandangan serong dalam kalangan bukan Islam terhadap umat dan agama Islam.

Hal-hal yang seperti inilah yang membuktikan bahawa memahami dan menghayati sifat-sifat terpuji Nabi Muhammad SAW sebenarnya jauh lebih penting berbanding hanya sambutan besar-besaran pada setiap kali ulang tahun keputeraan Baginda.

Ini kerana rahsia mewujudkan keamanan dunia ada terkandung dalam sifat-sifat Nabi Muhammad SAW. Dengan memiliki kualiti umat Islam yang menghayati peribadi mulia junjungan Islam itu serta dalam kalangan pemimpin yang mencontohi ketegasan, keberanian dan tanggungjawab Nabi Muhammad SAW, Islam mampu muncul sebagai pencetus keamanan sejagat.

Pada masa sama, mereka yang masih mengunakan alasan Islamophobia untuk membenci umat Islam tidak boleh lagi dengan sengaja berselindung di sebalik kenaifan memahami Islam sebagai prasyarat untuk melabelkan Islam dan pemimpinnya sebagai pengganas dan bukan pendamai.

Umat Islam dan para cendekiawan serta pemimpin Islam wajib bangun menangkis persepsi bukan Islam yang kadangkala serong dan salah sama sekali terhadap Islam dengan kembali menonjolkan sifat-sifat terpuji dalam kepimpinan mereka, yakni menjunjung tinggi sifat amanah dalam semua aspek sama ada kehidupan seharian atau kepimpinan.

Kesejahteraan sebagai hasil perpaduan ini telah melahirkan sebuah negara madani dengan konsep Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur (Negeri yang baik dengan Rabb (Tuhan) yang Maha Pengampun) lebih 1500 tahun lalu haruslah meresap dalam jiwa setiap pemimpin Islam.

Sebagai umat Islam yang sentiasa positif, kita perlu yakin bahawa masih ada pemimpin berjiwa Islam yang belum muncul membela Islam yang sedang diperkotak-katikkan dewasa ini.

Tidak mustahil pemimpin berperibadi mulia seperti Sultan Muhammad al-Fateh pada era Empayar Uthmanniyyah akan lahir sekiranya sifat Nabi Muhammad SAW dihayati, difahami dan diamalkan dalam konteks sebesar-besarnya hinggalah sekecil-kecilnya sebagai pemimpin di unit atau bahagian dalam organisasi.

Keupayaan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh pemimpin unggul yang berjaya menyatu padukan pelbagai golongan di Mekah mahupun Madinah dengan kalimah tauhid merupakan kekuatan utama dalam pembinaan tamadun agung.

Kesejahteraan sebagai hasil perpaduan ini telah melahirkan sebuah negara madani dengan konsep Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur (Negeri yang baik dengan Rabb (Tuhan) yang Maha Pengampun) lebih 1500 tahun lalu haruslah meresap dalam jiwa setiap pemimpin Islam.

Inilah hasil kepimpinan Baginda memperkenalkan wawasan dan visi kehidupan yang tidak berakhir di alam yang fana ini berjaya memperingatkan umat manusia akan kewujudan kuasa yang lebih agung di alam Akhirat, destinasi akhir semua hamba.

Gambar hiasan: Masjid Nabawi yang menjadi teras perpaduan dan penyatuan umat Islam merupakan kekuatan ke arah pembinaan negara Madani pada zaman Rasulullah SAW.

(119)

Peribadi mulia Rasulullah sebagai rujukan, elak taksub melulu

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>