October 12, 2024 3:30 PM
LOGO-HBIT

Peristiwa Israk Mikraj bukti kehebatan Allah, sangkal teori sains 

TARIKH 27 Rejab menjadi saksi sebuah peristiwa yang mencarik adat dan mencabar fakulti akal manusia. Pada waktu kenderaan termoden seperti unta dan kuda digunakan untuk perjalanan, masyarakat pada zaman itu dikejutkan berita Nabi Muhammad SAW menempuh perjalanan maha jauh; dari bumi ke langit ketujuh dengan kenderaan yang tidak pernah dilihat manusia, buraq hanya dalam kadar semalam sahaja.

Jiwa yang tiada iman atau cacat imannya pasti mempertikaikan dan memperbahas peristiwa itu. Dakwaan Rasulullah SAW berbohong atau melakukan sihir pasti berkumandang di tengah masyarakat waktu itu. Hanya jiwa-jiwa yang utuh iman dan ketaatannya kepada peribadi Rasullah SAW yang amanah dan kebesaran Allah dengan kuasa “Kun Fayakun” sahaja yang mampu menerima berita besar itu.

Peristiwa Israk Mikraj ini bukan sahaja mencabar segala teori sains ciptaan manusia, malah ia sekaligus membuktikan keterhadan ilmu dan akal manusia. Perjalanan merentas langit bertemu Allah (Mikraj) adalah satu ingatan kepada manusia bahawa tidak semua perkara perlu diwajarkan dengan sains dan teknologi. Ada perkara yang hanya perlukan iman untuk memahaminya.

Walaupun Einstein hebat pada mata manusia dan dibanggakan oleh mereka yang mengkaji fizik, satu-satunya misteri perjalanan Mikraj ini tidak dapat dirungkai beliau sebagaimana kejayaan beliau meruntuhkan geometri Euklidean yang telah diagungkan selama 2000 tahun lamanya dan menghukum kepalsuan teori Newton.

Albert Einstein dengan Teori Kerelatifan Khas gagal menyimpulkan keadaan jisim Rasulullah SAW yang tidak terjejas semasa Mikraj.

Teori Einstein yang mengatakan kelajuan tertinggi ialah kelajuan cahaya telah disangkal oleh realiti yang berlaku semasa perjalanan pada waktu dua pertiga malam tersebut, di mana Al-Quran menyatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj ini melebihi kelajuan cahaya; berbanding teori sains yang menyatakan ia memerlukan 13.7 bilion tahun cahaya.

Selain itu jika menurut teori Einstein, jasad Rasulullah SAW pastilah terjejas oleh kembara dalam bentuk tersebut. Ini kerana dalam Teori Kerelatifan Khas, benda yang bergerak dengan kelajuan cahaya, jisimnya akan ditukar kepada tenaga; dan apabila tenaga diubah semula kepada jisim, jisim akan terjejas sifatnya.

Namun jisim Rasulullah SAW terbukti langsung tidak terjejas dalam peristiwa Mikraj ini, sekaligus menimbulkan pelbagai perdebatan sains yang tidak berkesudahan selagi tidak didasari iman.

Israk Mikraj juga menjadi salah satu peristiwa bersejarah bagi umat Islam di seluruh dunia kerana dalam peristiwa itulah turunnya perintah solat lima waktu kepada umat Islam. Beriman kepada Allah bukan setakat menyatakan ikrar bahawa Allah itu Maha Esa, tetapi juga menuntut bukti zahir pengabdian hamba kepada Pencipta iaitu solat.

Mereka yang menjaga solatnya adalah hamba yang menjiwai kepentingan solat itu sendiri; sehingga Nabi Muhammad SAW menempuh perjalanan panjang dan penuh kontroversi untuk menerima arahan Allah.