Perpaduan dan sifat akomodasi masyarakat Melayu dalam Pak Ngah Haji Omar

OLEH: MOHD ZAHIR ZAINAL ABIDIN

PENULIS pertama kali mendengar tentang telefilem Pak Ngah Haji Omar ketika musim fenomena filem Mat Kilau di pawagam. Dalam banyak-banyak ulasan filem tersebut ada seorang warga maya yang membandingkan filem tersebut dengan telefilem ini.

Sayangnya penulis tidak berpeluang menonton dan meronta-ronta mahu menonton setelah mengetahui barisan pelakon hebat dalam telefilem tersebut dan diarahkan pula oleh seorang pelakon berwibawa, Dato Tarmimi Serigar. Kecewa apabila mencari-cari di YouTube tetapi tidak berjumpa. Mujurlah adanya AlHijrah Plus memuatkan telefilem ini dan pastinya inilah telefilem pertama yang ditonton setelah memuat turun aplikasi ini.

Barisan pelakon telefilem ini tidak perlu dipertikaikan. Namun yang lebih menarik bagaimana pengarah meletakkan susunan cerita dan adegan yang sebenarnya membawa banyak persoalan dan mencetuskan rasa untuk berfikir serta menyedarkan bagaimana sebenarnya suasana masyarakat ketika itu.

Selang masa berlakunya cerita ini adalah di antara Tanah Melayu masih di bawah pentadbiran British dan mulanya kemasukan Jepun. Bila bicara soal patriotisme, minda kita selalu terkeluar imej penderitaan diseksa oleh tentera Jepun. Jarang kita bicara atau kenang betapa sukarnya bila tiada kuasa untuk menentu masa depan sendiri. Ditambah pula dengan sifat masyarakat yang hanya berserah.

Lantas adegan awal, bagaimana soal patriotisme dan berjaga-jaga dengan musuh dalam selimut yang dikhutbah tanpa teks oleh Pak Ngah Omar merupakan satu adegan yang sangat-sangat menyegarkan.

Wira barat boleh sahaja bertempur dan membunuh sesuka hati tanpa memikirkan soal keluarga. Berbeza dengan wira Pak Ngah ini yang perlu menjaga masyarakat dan dalam masa yang sama menangani konflik dalaman keluarga seperti tentangan abang sendiri.

Kehidupan harmoni antara kaum telah lama wujud di Tanah Melayu sejak sebelum merdeka lagi. (Foto petikan telefilem Pak Ngah Haji Omar di Alhijrah Plus)

Menariknya mungkin ramai tidak sedar betapa kuatnya ciri wanita solehah yang ditampilkan dalam watak isteri Pak Ngah. Wataknya memang nampak lembut, sentiasa tersenyum dengan suami walau apapun keadaan. Namun sisi manusia biasa beliau dilihat dalam dia menangani anak-anaknya.

Tetap garang dan tegas. Beginilah sifat mak-mak kita dahulu. Hal dalam keluarga kurang dibebankan kepada suami yang lebih memikirkan soal ummah. Begitu holistiknya drama ini, konflik di antara kanak-kanak yang berlainan bangsa turut disentuh. Betapa sifat perpaduan perlu disemai dari kecil dan sesuai dengan sifat keanak-anakan juga, penyelesaian yang diguna juga begitu mencuti hati.

Sisi perpaduan dan sifat akomodasi masyarakat melayu di Kedah bukan sahaja kepada Cina dan India, tetapi ditunjukkan dalam telefilem ini dengan masyarakaf Siam yang mencari perlindungan. Apatah lagi mengajar mereka ilmu silat yang dirasa taboo dan milik eksklusif Melayu.

Pada pendapat penulis, telefilem ini mempunyai bahan yang cukup untuk diangkat menjadi sebuah filem epik. Dengan syarat, persembahan pertarungan ketika Pak Ngah memberi bantuan kepada tentera Selendang Delima dijadikan klimaks dan diperkemaskan.

Namun adegan berceramah di atas lori satu lagi adegan segar dan mampu menjadikan telefilem ini lebih epik dan dingati.

Gambar: Eman Manan memegang watak Pak Ngah Haji Omar dalam telefilem Pak Ngah Haji Omar di Alhijrah Plus.

* Penulis adalah Pemenang Hadiah Pertama Pertandingan Menulis Review Rancangan Alhijrah Plus.

(30)

Perpaduan dan sifat akomodasi masyarakat Melayu dalam Pak Ngah Haji Omar

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>