Pertambahan penonton bulan Ramadan, TV AlHijrah rujukan tambah ibadat bulan mulia

SELAIN ibadat-ibadat khusus untuk Ramadan seperti solat tarawih dan amalan-amalan sempena bulan mulia ini, menonton rancangan yang boleh menyuntik keinsafan dan pemahaman yang lebih mendalam terhadap Islam juga termasuk dalam ibadat sekiranya diniatkan untuk menambah takwa kepada Allah serta mendalami ilmu.

Sebagai pemain industri penyiaran tanah air, TV AlHijrah istiqamah menghidangkan kepada masyarakat rancangan-rancangan berfaedah yang boleh menyuntik kesedaran tentang agama, nilai murni dan kemanusiaan, lebih-lebih lagi sepanjang Ramadan supaya penonton dapat mengisi masa seharian dengan gaya hidup Islam.

Bagi sebuah stesen berkonsepkan Islam, pertambahan penonton yang memilih rancangan berbentuk keagamaan dan kerohanian menandakan jumlah sasaran dakwah sudah semakin meluas. Ini satu petanda yang baik kepada usaha membentuk masyarakat yang berperadaban; sesuatu pencapaian yang patut dibanggakan.

Rancangan-rancangan sepanjang Ramadan ini juga boleh distrim melalui AlHijrah Plus yang menyediakan lebih 8000 kandungan berkonsepkan Islam.

Data bersumberkan Nielsen Media Research mendedahkan jumlah tontonan TV AlHijrah sejak bersiaran awal Ramadan lalu sehingga separuh Ramadan meningkat 9 peratus berbanding tontotan sebelum bulan Ramadan.

Sebagaimana lazimnya menurut rekod tahun sebelumnya, TV AlHijrah sentiasa mendapat tempat di hati penonton dengan pertambahan tontonan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun pada bulan Ramadan. Angka ini juga menyebabkan prestasi saluran ini meningkat 13 peratus sepanjang tempoh tersebut berbanding sebelum menjelang Ramadan.

Antara program yang mendapat pilihan penonton yang menyumbang kepada kadar pertambahan tontonan ini ialah Taranum Challenge, Mai Ngaji, Cinta Ilmu, Tawajjuh, Ibrah Ramadan, Riwayat Akhir Zaman, 40 Kalam Junjungan, 30 Minit Bersama, Sembang Moreh dan Moh Dengar SD.

Program Moh Dengar SD, Apa Cerita Kome? dan Peristiwa Ramadan 2 menjadi pilihan penonton TV AlHijrah menjelang sahur, manakala prestasi saluran pada slot 2:00 hingga 3:00 pagi meningkat empat kali ganda Ramadan ini merupakan satu fakta yang cukup membanggakan kerana komitmen penonton yang sanggup bersengkang mata mengisi masa mereka dengan program keagamaan.

Prestasi program awal pagi, Assalamualaikum yang turut meningkat 50 peratus pada bulan Ramadan berbanding sebelum bulan Ramadan pula membuktikan selain menyediakan rancangan pengisian rohani dan keilmuan, TV AlHijrah juga sentiasa cakna dengan perkembangan isu semasa, perbincangan seputar kehidupan dan gaya hidup masa kini dan menjadi pembekal maklumat sahih dan benar yang mendapat keyakinan penonton.

Fakta yang terbentang ini sekaligus menambah keyakinan untuk stesen ini terus mengekalkan visi dan misinya mempelopori rancangan-rancangan berbentuk keagamaan dan memandu masyarakat untuk beribadat dengan lebih sempurna dan menjadikan agama sebagai satu cara hidup sepanjang masa.

(110)

Pertambahan penonton bulan Ramadan, TV AlHijrah rujukan tambah ibadat bulan mulia

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>