Program Pemerkasaan Wanita Asnaf dan Ibu Tunggal

* Artikel ini disediakan oleh pihak Yayasan Ikhlas.

BAGI seorang isteri, kehilangan suami ibarat hilangnya sumber harapan dan talian hayat. Tiada kata yang dapat menghuraikan kehilangan insan tersayang. Betapa peritnya menghadapi pemergian tulang belakang keluarga. Lebih-lebih lagi cabaran ibu tunggal untuk membesarkan anak-anak di samping terpaksa menghadapi tekanan kewangan sendirian.

Salah satu inisiatif Yayasan Ikhlas untuk membantu ibu-ibu tunggal ini adalah melalui Projek Pemerkasaan Wanita Asnaf dan Ibu Tunggal di mana mereka ini diberi latihan yang bersepadu dan menyeluruh agar dapat keluar daripada kesusahan hidup yang menimpa dan kembali bangkit menjana pendapatan sendiri.

Projek ini dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya Masjid Mukim Wakaf Raja, Pasir Puteh, Kelantan bersama-sama Yayasan Ikhlas serta UMW Holdings, My-Sutera Sdn Bhd (Canggih), Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM) di mana mereka dilatih untuk membina ekonomi sendiri melalui kelas jahitan dan dibimbing sehingga mampu berdikari.

“Sebelum ini, setiap hari saya menangis memikirkan masa depan saya dan anak-anak. Bayangkan ada sembilan orang anak menunggu saya setiap hari. Dulu saya mengharap duit jualan kuih muih, ada masa RM20 sahaja sehari, ada masa tiada langsung. Nak bagi makan anak pun saya berkira-kira. Alhamdulillah adanya projek ini, beri saya jalan keluar. Bantu saya dan anak-anak. Syukur, Alhamdulillah,” kata Puan Anisah, salah seorang peserta Projek Pemerkasaan Wanita Asnaf & Ibu Tunggal.

Projek ini telah memberi sinar harapan buat 20 keluarga wanita asnaf dan ibu tunggal untuk keluar daripada kesusahan dan memberi mereka peluang membina keluarga ke arah kehidupan yang lebih baik buat diri dan anak-anak.

Sebagaimana sabda hadis, ”Orang yang berusaha membantu wanita kematian suami dan orang miskin, mendapat pahala sama seperti pahala orang berjuang di jalan Allah.” (Sahih Al-Bukhari)

Yayasan Ikhlas berharap wanita-wanita yang berjaya melalui projek ini mendapat manfaat dan seterusnya membawa diri dan keluarga keluar daripada kesusahan.

Baru-baru ini juga Yayasan Ikhlas berjaya mendapat Anugerah Jaringan Industri Dan Komuniti Berimpak Tinggi (ICAN) 2023 daripada Universiti Putra Malaysia. Terima kasih kepada semua pihak di atas sokongan yang tidak putus-putus kepada kami.

Peduli prihatin, Yayasan Ikhlas 

(45)

Program Pemerkasaan Wanita Asnaf dan Ibu Tunggal

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>