Ramadan bersama TV AlHijrah, inisiatif pembaharuan utamakan tarbiah umat

MENGEKALKAN atau mempertingkatkan jumlah tontonan bagi sesebuah stesen televisyen, media yang bersifat autokratik; di mana penonton perlu mengikut waktu siaran yang ditentukan dan terhad pula ruang tontonan memerlukan strategi dan percaturan yang sangat teliti dan kreatif.

Persaingan sengit dalam industri ini menuntut pemikiran tembus dinding, di samping terus istiqamah mempertahankan visi dan misi stesen serta membantu pencapaian aspirasi kerajaan. Apatah lagi percambahan pelbagai aplikasi yang bersifat demokratik masa dan tempatnya sering menjadi pilihan penonton terutama golongan muda, cabaran kepada stesen televisyen menjadi semakin bertambah.

Hambatan dan cabaran ini terus ditatang secara bijaksana oleh stesen berkonsepkan Islam, TV AlHijrah. Merangka inisiatif untuk memberikan yang terbaik dan berani menanggung risiko serta bertanggungjawab memandu arah umat, beberapa program baharu diperkenalkan sepanjang Ramadan lepas untuk menambah warna kepada rancangan yang sedang bersiaran.

Antaranya ialah dengan menayangkan drama bersiri biografi Arab, Risalah Imam Al-Syafie sebanyak 30 episod sepanjang Ramadan untuk memandu penonton memperkaya diri dengan sifat-sifat mulia sebagaimana yang terpancar dari peribadi Imam Al-Syafie.

Drama bersiri sejarah agama Risalah Imam Al-Syafie akan disiarkan semula sempena Aidiladha nanti bagi meraikan permintaan penonton.

Terkenal dengan sifat pemaaf, bijaksana, cintakan ilmu dan sangat tinggi diplomasi dan adil terhadap mereka yang berbeza pendapat, sosok ulung dalam bidang Usul Fiqah dan imam besar dalam mazhab Sunni ini sangat sesuai dijadikan panduan untuk menyelesaikan kemelut umat Islam dalam perkara perselisihan pendapat; supaya hidup yang lebih indah dapat dinikmati umat Islam sekiranya agama dijadikan panduan.

Permintaan penonton supaya drama ini diulang siar seusai Ramadan kerana ramai yang terlepas siaran lantaran kesibukan mereka dengan aktiviti harian dan ibadah di mana ia membataskan masa menonton televisyen cukup memberi kepuasan kepada stesen. Ia dilihat sebagai tanda kesedaran penonton dalam menambah ilmu dan memilih rancangan bermutu dan “agak berat” sentiasa subur dalam khalayak penonton.

Begitu juga dengan eksperimen terhadap filem Imam yang disiarkan pada 20 Ramadan lalu. Filem ini mendapat reaksi positif dan memberangsangkan dari penonton TV AlHijrah. Mereka yang terlepas siaran kerana bertarawih di masjid menyatakan hasrat supaya filem ini diulang siar pada masa lain.  

Justeru itu, filem yang dipilih khas mengisi minda dan mencetus sedar para penonton tentang perlunya adab dalam menyelesaikan segala pertikaian dalam masyarakat terutamanya umat Islam ini akan disiarkan semula pada Ahad, 21 April ini bagi meraikan kesetiaan penonton TV AlHijrah.

Atas permintaan ramai, TV AlHijrah berbesar hati untuk menayangkan semula filem IMAM sempena Syawal ini. Ia juga dapat ditonton secara strim di AlHijrah Plus.

Selain kedua-dua rancangan baharu tersebut, rancangan malar segar Khatam Ramadan 2024 yang telah masuk tahun ketiga disiarkan setiap kali Ramadan menjadi antara ‘menu utama’ pilihan penonton. Permintaan tinggi dan sokongan padu penonton supaya rancangan ini terus disiarkan setiap kali Ramadan diraikan stesen saban tahun.

Pada Ramadan lepas, ia disiarkan secara langsung selama 14 jam bermula 5 pagi hingga 7 malam dan melibatkan 31 orang bakat. ⁠Penampilan Khas Qari daripada Tilawah negeri Sarawak dan Johor, Qari Mohamad Yusuf Kassim dan Qari Haji Hadi Mohd Sharkawi dan Qari Palestin, Dr Muhammad yang  ahli keluarganya pada masa tersebut masih di Gaza menjadikan TV AlHijrah stesen pilihan sepanjang Ramadan.

Menyedari ilmu itu milik semua insan, penampilan jurubahasa isyarat buat pertama kali dalam rancangan ini juga meluaskan jangkauan dakwah kepada insan istimewa. Turut disiarkan di pelbagai pelantar milik TV AlHijrah seperti aplikasi AlHijrah Plus, Facebook Live dan TikTok Live, ilmu dapat disebarkan kesemua peringkat penonton.

Tidak melupakan penonton ‘rebung’, TV AlHijrah juga memperkenalkan kandungan kanak-kanak Durioo sepanjang Ramadan dengan membuka kerjasama dengan pelantar kandungan kanak-kanak, Durioo. Slot Durioo D’Hijrah ini adalah manifestasi kebertanggungjawaban stesen kepada usaha mencorak ‘kain putih’ dengan nilai-nilai baik, selamat dan berkualiti.

Pasukan Unit Berita AlHijrah yang terlibat dengan siaran langsung proses cerapan anak bulan Syawal 1445H pada 9 April lalu di Menara Kuala Lumpur.

Siaran langsung proses cerapan anak bulan yang disiarkan secara langsung di laman Facebook dan TikTok Berita AlHijrah yang menjadi inisiatif tahunan oleh pasukan Berita AlHijrah pada tahun ini pula mencatat jumlah tontonan yang sangat memberangsangkan di mana 1.01 juta tontonan tertumpu ke laman sosial tersebut untuk turut berkongsi keterujaan menyaksikan acara tahunan yang bermakna itu.

Usaha memperluaskan pengiklanan dan hebahan kandungan untuk Ramadan pada kali ini turut menggunakan platform kereta api dan premis KL Sentral selain pelantar televisyen dan digital banyak menyumbang kepada pertambahan tontonan. Sidang media Ramadan TV AlHijrah juga diadakan di platform Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) Kuala Lumpur bagi mendekatkan khalayak yang menggunakan perkhidmatan itu kepada TV AlHijrah.

Membekalkan ilmu dan menyatukan umat agar terus berlari atas landasan benar dan menjadikan agama sebagai panduan gaya hidup adalah tugas utama TV AlHijrah di samping impian meluaskan bulatan dakwah.  

Ini kerana keindahan hidup yang menjadi impian setiap orang dapat ditadabbur melalui pesanan agama secara simbolik mahupun nyata dan menjadi agenda umat Islam dalam mencari titik temu dalam setiap pertikaian; kerana keindahan bersilatur rahmi itu melebihi segala agenda memenuhi nafsu sendiri.

Kejayaan inilah yang paling bermakna buat TV AlHijrah, sumbangan yang tidak sedikit buat memperkasakan umat untuk menuju negara bercirikan madani.

(89)

Ramadan bersama TV AlHijrah, inisiatif pembaharuan utamakan tarbiah umat

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>