Ramai wanita ikut Dajjal kerana kasihkan anak yang menderita kelaparan

BERMULA zaman Nabi Adam a.s sehingga umat yang terakhir, tidak ada ujian fitnah yang terbesar selain fitnah Dajjal. Semua Nabi yang diutus memperingatkan umatnya tentang Dajjal walaupun kemunculannya hanya melibatkan umat akhir zaman.

Rasulullah menyatakan Baginda lebih mengenali Dajjal berbanding dia (Dajjal) mengenali dirinya sendiri. Ada sahabat Rasulullah sendiri pernah melihat Dajjal. Dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam Muslim menceritakan secara panjang lebar kisah sahabat yang berjumpa Dajjal.

Fizikal Dajjal yang diceritakan ialah berambut kerinting, sebelah matanya cacat dan buta seperti anggur kering dan didahinya jelas kelihatan kepada orang mukmin tiga huruf iaitu kaf, fa dan ra (kafir).

Kata Tamim Ad-Dariy r.a sewaktu bercerita kepada Rasulullah SAW., sewaktu pelayarannya bersama 30 rakannya, kapal mereka dipukul ombak dan akhirnya terdampar di di sebuah pulau di tengah lautan tersebut pada waktu matahari hampir tenggelam.

Mereka pun memasuki pulau tersebut hingga menjumpai binatang yang berambut sangat lebat bulunya hingga mereka tidak tahu mana bahagian depan atau belakangnya kerana lebat bulunya. Apabila ditanya makhluk tersebut menjawab dia adalah Al-Jassasah.

Makhluk itu menyuruh Tamim Ad-Dariy bersama pengikutnya untuk pergi ke sebuah gua dan menemui seorang lelaki yang sedang menunggu mereka. Tamim pada mulanya ragu-ragu untuk mengikut arahan makhluk itu kerana syak ia adalah syaitan, namun akhirnya bergegas ke gua yang ditunjukkan.

Ternyata di dalamnya terdapat seorang manusia yang sangat besar terbelenggu pada ikatan yang sangat kuat. Kedua tangannya terikat dengan leher, antara dua lutut dan dua mata kaki terikat dengan besi. Orang itu meminta Tamim melepaskan ikatannya dan berjanji akan memberitahu siapa dirinya.

Menurut Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dalam rancangan Riwayat Akhir Zaman Musim 1 Episod 1 yang memperihalkan siapakah Dajjal, lelaki yang ditemui Tamim itu itu bertanya kepada Tamim tentang pohon-pohon kurma di Baisan, apakah ia masih berbuah? Tamim menjawab pohon-pohon tersebut hampir tidak mengeluarkann buahnya.

Berikutnya lelaki itu bertanya tentang Tasik Thobariyyah, adakah masih ada airnya? Tamim memberitau keadaan tasik yang masih ada airnya.

Rancangan Ayat Riwayat boleh ditonton di aplikasi AlHijrah Plus.

Lelaki itu sekali lagi bertanya tentang mata air Zughor, apakah masih ada airnya dan adakah masih digunakan untuk pertanian? Pertanyaan itu dijawab Tamim dengan mengatakan mata air masih deras airnya dan penduduk masih bertani dengannya.

Akhirnya dia bertanya tentang apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan apakah Baginda diperangi oleh orang Arab? Tamim memberitahunya tentang kemunculan Baginda SAW dari Mekah dan tinggal di Madinah dan beroleh kemenangan atas orang-orang Arab dan mereka taat kepadanya.

Selepas bertanya kesemua soalan, lelaki itu memberitahu Tamim bahawa dialah Al-Masih Dajjal dan perihalnya yang akan dibebaskan pada ketika berlakunya keadaan pohon kurma di Baisan tidak lagi berbuah dan air di Tasik Thobariyyah dan mata air Zughor kering.

Dajjal pun memberitahu Tamim yang ia akan keluar dan sampai ke setiap pelosok bumi dalam waktu 40 malam kecuali di Mekah dan Thaybah yang menjadi haram baginya. Setiap kali Dajjal masuk pada salah satu kota ini, malaikat menghadangnya dengan pedang terhunus di tangan menghalangi Dajjal darinya dan pada tiap celah ada para malaikat yang menjaganya.

“Dajjal menjelajah dunia dengan menaiki kenderaan yang telinganya sepanjang 40 hasta, pergerakannya seperti angin dan bersamanya ada 70 ribu tenteranya yang setia. 40 hari dia megelilingi dunia, hari pertama umpama setahun, hari kedua umpama sebulan dan hari ketiganya umpama seminggu dan hari keempat dan seterusnya seumpama hari-hari biasa kita jalani,” kata Ustaz Jaffri.

Apabila ditanyakan sahabat bagaimana cara bersolat pada waktu tersebut, Rasulullah berkata solat sekadar waktunya sebagaimana lazimnya.

Menurut Ustaz Jaffri lagi, sebelum kemunculan Dajjal, kita akan berhadapan dengan tiga tahun yang kering. Tahun pertama satu pertiga hujan tidak turun, diikuti dua pertiga hujan tidak turun dan langsung tidak turun hujan pada tahun ketiga.

Kawasan yang dikunjungi Dajjal akan subur dan kawasan yang tidak mengaku Dajjal sebagai Tuhan akan sengsara kerana menjadi kering kontang. Kesempatan ini digunakan Dajjal untuk menawarkan makanan dan kemewahan hidup bagi mereka yang sanggup menjadi pengikutnya. Oleh kerana hidup sengsara, ramai para wanita mengalah dan mengikut Dajjal kerana tidak tahan melihat anak-anak mereka yang kelaparan.

“Rasulullah SAW menggambarkan kepada kita, berapa ramai orang yang keluar untuk ikut Dajjal daripada kalangan wanita sebab wanita fikirkan anak-anaknya yang kelaparan, dia fikirkan keluarganya yang tidak ada makanan, dia sanggup untuk korbankan dirinya semata-mata untuk jaga ahli keluarganya. Sifat penyayang seorang wanita. Kerana itu Nabi menyebut supaya ikat isteri dan anak-anak daripada mengikuti Dajjal,” terang Ustaz Jaffri.

Rasulullah berkata bahawa akan ramai menjadi pengikut Dajjal pada waktu kemunculannya bukan kerana beriman kepadanya tetapi kerana kesusahan hidup. Pada waktu itu Dajjal menawarkan segunung roti dan mensyaratkan supaya mengaku dia sebagai Tuhan sebelum diberikan roti.

Dajjal juga membawa dua sungai; satunya sungai yang mengalir sejuk airnya dan satu lagi dipenuhi api. Namun Rasulullah SAW berpesan kepada umatnya supaya memilih api kerana itulah air yang sebenar-benarnya yang telah dikelirukan Dajjal.

Justeru itu Ustaz Jaffri mengingatkan supaya umat Islam sentiasa membaca doa dari fitnah Dajjal iaitu doa sewaktu tahiyyat akhir yang diajarkan Rasulullah SAW yang meminta perlindungan dan beramal dengan surah Al-Kahfi atau sekurang-kurangnya sepuluh ayat terawal dan terakhirnya.

Selain itu umat Islam juga digesa supaya menjauh sedaya mungkin dari tempat kemunculan Dajjal atau lari ke Mekah dan Madinah di mana Dajjal tidak dapat masuk ke dua tempat itu.

Gambar hiasan: Gambaran kemunculan Dajjal mengenderai kenderaan bersayap panjang sebagaimana kisah kemunculan Dajjal yang diceritakan Ustaz Jaffri (Imej janaan AI)

(678)

Ramai wanita ikut Dajjal kerana kasihkan anak yang menderita kelaparan

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>