October 7, 2024 11:25 PM
LOGO-HBIT

Reaksi Masyarakat Terhadap Disleksia dalam Poskad Dari Switzerland

OLEH: SITI ZULAIHAH ABD KARIM

“PATAH-PATAH perkataan mahupun bahasa, sama ada secara bertulis ataupun dipertuturkan tidak ada sama sekali dalam mekanisma pemikiran saya,” ujar figura Albert Einstein dalam suratnya kepada Jacques Hadamard seorang ahli matematik terkenal sekitar tahun 1945.

Einstein juga menyifatkan penulisan sebagai sesuatu yang payah untuk beliau kuasai, dan akhirnya Menyebabkan beliau tidak dapat berkomunikasi dan bertutur dengan baik. Einstein hari ini dikenali Sebagai ahli fizik teori yang begitu masyhur meskipun sewaktu usia kanak-kanak beliau dianggap sebagai murid yang lembap.

Einstein membuktikan disleksia merupakan salah satu dalam kepelbagaian keunikan penciptaan manusia. Tanpa pemerhatian yang teliti serta bimbingan yang betul, kanak-kanak disleksia berkemungkinan besar tercicir lalu tewas dalam sistem pendidikan pada masa kini.

Telefilem Poskad dari Switzerland membawa mesej besar untuk sistem pendidikan sedia ada di Malaysia. Melalui watak Inayah, pelajar perempuan di sebuah sekolah rendah yang mengalami kesukaran membaca dan mengira lalu acap kali ponteng kelas.

Situasi ini pada mulanya menimbulkan kemarahan para guru termasuklah pihak pentadbir. Bapa Inayah diminta hadir ke sekolah untuk membincangkan prestasi pelajaran Inayah yang merosot. Tiada pemerhatian teliti yang dilakukan oleh pihak sekolah, dan semberono hukuman dijatuhkan kepada Inayah. Meskipun pahit untuk ditelan, inilah situasi yang paling kerap kita temui dalam sistem pendidikan kita.

Kehadiran Cikgu Mariam mengubah naratif cerita, meskipun tidak sepenuhnya. Cikgu yang baru ditugaskan di sekolah itu cekap melakukan pemerhatian tanpa sebarang prejudis. Inayah dipanggil berjumpa dengannya secara peribadi dan melalui sesi itu. Cikgu Mariam mengesan masalah disleksia
yang dihadapi Inayah. Beliau bahkan menawarkan kelas tambahan selepas waktu sekolah untuk
membantu Inayah.

Puteri Balkis memegang watak Inayah, murid disleksia dalam Poskad Dari Switzerland.

Inayah pada penghujung cerita, meskipun tergagap-gagap tetapi sudah mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan tidak lagi ponteng kelas. Inayah yang tidak tahu membaca, pada penghujung cerita ditonjolkan sebagai pelajar universiti yang menerima anugerah berprestij lalu mengirim poskad dari Switzerland untuk Cikgu Mariam.

Penulis skrip melakarkan watak Cikgu Mariam sebagai graduan dari United Kingdom. Beliau dan suami sama-sama pernah belajar di sana, dan di penghujung cerita pasangan ini juga kembali ke luar negara untuk menetap.

Ada dialog yang mengangkat kemajuan barat dalam menangani murid-murid berkeperluan khas seperti disleksia. Tidak dinafikan, sistem pendidikan kita masih menjadikan barat sebagai pusat rujukan. Saya walaubagaimanapun, kurang bersetuju dengan perkara ini.

Telefilem kita sepatutnya mengangkat sisi-sisi patriotisme, tanpa menafikan nilai-nilai baik yang boleh dibawa masuk ke dalam aliran pendidikan kita. Guru-guru tempatan dalam telefilem ini digambarkan sebagai tidak prihatin, pemarah, culas dan tidak berusaha untuk melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu untuk menyantuni kanak-kanak berkeperluan khas. Ini ditonjolkan dengan jelas oleh watak Cikgu Devi.

Sebagai penutup, saya ingin mencadangkan kepada penulis skrip yang mahu mengangkat tema murid berkeperluan khas dalam telefilem atau drama yang akan datang supaya mengangkat banyak usaha Kementerian Pendidikan Malaysia yang sudahpun dijalankan. Antaranya penerbitan GARIS PANDUAN PENGURUSAN MURID BERKEPERLUAN KHAS bagi membantu guru-guru menyediakan ruang belajar yang terbaik untuk murid.

Apapun, saya harus mengucapkan tahniah kepada barisan pelakon yang menjiwai watak dengan baik, juga kepada penulis skrip yang berani mengangkat tema yang bersifat avant-garde.

Gambar: Klip dari salah satu adegan dalam telefilem Poskad dari Switzerland yang disiarkan di Alhijrah Plus.

* Penulis adalah Pemenang Hadiah Sagu hati Pertandingan Menulis Review Rancangan Alhijrah Plus.