October 7, 2024 10:19 PM
LOGO-HBIT

Rumah terbuka hari raya bagai diserang geroda, tetamu wajar ikut adab ziarah 

SYAWAL yang berbaki beberapa hari lagi masih disambut dengan meriahnya. Masih banyak jemputan rumah terbuka diterima, tidak kira dari jiran, rakan sepejabat atau kumpulan di media sosial dan sebagainya. Boleh dikatakan setiap hujung minggu ada undangan, bahkan ada yang menghadiri beberapa majlis rumah terbuka dalam sehari.

Dalam memenuhi undangan tersebut, adab ziarah menziarahi mengikut tata susila dan ajaran agama haruslah sentiasa lekat di hati supaya majlis yang diadakan untuk menyambung silaturrahim tidak bertukar menjadi perang dingin sesama rakan atau jiran. Lebih parah jika berlaku sindiran di media sosial untuk melepaskan geram dan rasa terbuku hati atas kejadian semasa rumah terbuka.

Ini kerana banyak kita dapati dalam media sosial warga maya melampiaskan rasa tidak puas hati mereka terhadap tetamu semasa sambutan hari raya di rumah mereka. Mereka mungkin tidak tergamak menegur secara berdepan, tetapi menjadikan media sosial sebagai penyambung lidah menyampaikan ketidakpuasan hati terhadap sikap tetamu.

Kebanyakannya menegur anak-anak tetamu yang merosakkan barangan perhiasan serta mengotorkan rumah secara keterlaluan. Ibu bapa yang tidak menegur sikap anak dan membidas tuan rumah sekiranya ditegur menambahkan parah polemik ini.

Warga maya pula mempunyai hujah sendiri dalam menyebelahi tuan rumah atau tetamu yang terlibat. Ramai juga berkongsi pengalaman serupa; sakit hati, serik dan sedih dengan sikap segelintir ibu bapa yang tidak bertanggung jawab mengendalikan kerenah anak masing-masing.

Ramai juga yang memperli tuan rumah dengan kata-kata yang menambah pedih di hati; jangan buat rumah terbuka kalau tidak mahu rumah kotor atau barang rosak.

Sepatutnya polemik ini tidak berlanjutan sekiranya masing-masing jaga hak; iaitu hak tetamu dan hak tuan rumah. Agama telah memandu kita dengan adab dan panduan yang sangat rinci dalam bab menziarahi rumah saudara-mara ketika berhari raya ini.

Rumah terbuka hari raya adalah wadah penyambung silaturrahim jika mengikut peraturan dan adab kunjung mengunjung antara tuan rumah dan tetamu. (Gambar hiasan)

Antaranya adabnya ialah meminta izin sebelum masuk ke rumah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah mengingatkan bahawa sekiranya seseorang itu telah meminta izin sebanyak tiga kali, namun tidak dijawab oleh tuan rumah, maka hendaklah dia pulang.

Tetamu juga perlu memilih waktu yang sesuai untuk berkunjung agar tidak menyusahkan tuan rumah. Sebaik-baiknya tanya pada mereka waktu yang sesuai bagi mereka, bukan mengikut kelapangan masa kita sahaja.

Apabila berada dalam rumah pula tetamu tidak sepatutnya mengintai atau “bermata liar” serta perlulah menjaga pandangan. Rasulullah sendiri berdiri di sisi sudut pintu bagi menjaga pandangan agar tidak ternampak sesuatu yang tidak disukai oleh tuan rumah.

Akhirnya adab yang digariskan dalam Islam ialah tidak merosakkan barang tuan rumah. Perkara ini ditekankan oleh Sheikh Muhammad Soleh al-Munajjid yang menjelaskkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab ibu ayah untuk memastikan anak-anak mereka tidak merosakkan barangan tuan rumah.

Dalam konteks zaman sekarang di mana kebanyakan rumah banyak dekorasi, membuat kerosakan atau menyepah-nyepahkan barangan perhiasan serta susunan barang tuan rumah sudah cukup membuat tuan rumah rasa serik mengadakan rumah terbuka.

Niat untuk menyambung silaturrahim dan meraih pahala dengan menjamu makan tetamu mungkin bertukar menjadi dosa pula rentetan dari reaksi atau tindakan tuan rumah mahupun tetamu dalam menangani keadaan sebegitu.

Apabila kedua-dua pihak telah bermasam muka, manakan dapat tetamu memenuhi adab yang dianjurkan Rasulullah s.a.w iaitu mendoakan kebaikan buat tuan rumah.

Maka dalam menghadapi situasi sebegini seharusnya kedua-dua pihak mengambil ajaran agama sebagai ukuran kepada tindak tanduk mereka kerana segala panduan telah pun tersedia. Tetamu perlu fahami situasi keluarga sendiri sebelum membuat keputusan pergi beraya, manakala tuan rumah pula bersedia dengan hati reda sekiranya memang ada senarai tetamu jemputan mempunyai anak-anak berperangai luar duga. 

Gambar hiasan: Limpahan tetamu juga kadangkala menyebabkan tuan rumah tidak berpeluang memantau kerenah mereka.