October 7, 2024 11:26 PM
LOGO-HBIT

Sejarah penubuhan Madrasah Darul Tahfiz Wa’ulumul Quran Lil Banat

MENURUT para ulama, kelebihan berinfaq pada bulan Ramadan adalah lebih besar daripada bulan-bulan lain. Seperti mana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis oleh Imam Bukhari, yang bermaksud: “Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan Baginda lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al-Qur’an. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Qudsi yang bermaksud: “Setiap amalan manusia akan diganjarkan kebaikan semisalnya sehingga 700 kali ganda. Allah Azza Wa Jalla berfirman: ‘Kecuali puasa, kerana puasa itu untukKu dan Aku yang akan membalasnya.’” (Hadis Riwayat Muslim)

Para ulama sentiasa menganjurkan agar kita mencontohi teladan terbaik iaitu Rasulullah SAW. Umum mengetahui bahawasanya Baginda Rasulullah SAW adalah insan contoh yang tidak pernah membiarkan harta yang dimilikinya berada di dalam rumah lebih dari sehari melainkan harta itu akan diinfaq atau disedekahkannya.

Ibn ‘Uqbah bin Amir meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Setiap orang akan berada dalam naungan sedekah yang pernah dikeluarkannya pada hari kiamat hingga nasibnya ditentukan bersama yang lainnya.” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibn Hibban dan Al-Hakim).

Kedudukan tinggi amalan sedekah pada bulan Ramadan ditambah pula dengan iman yang meningkat disebabkan amalan yang dilakukan memberi natijah kepada dekatnya hubungan hamba dengan Sang Pencipta (Allah SWT). Fikiran manusia disucikan, dicantikkan dan diterangi dengan cahaya yang bersinar dari Al-Quran.

Justeru itu, jangan lepaskan peluang yang dikurniakan Allah SWT dengan kedatangan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini. Ayuh sama-sama kita tingkatkan amal ibadah selagi Ramadan masih lagi berbaki, perbanyakkan sedekah selagi direzeki untuk menikmatinya.

Madrasah Darul Tahfiz Wa’Ulumul Quran Lil Banat atau dahulunya dikenali sebagai Darul Tahfiz Bustan Usy’Syaqil Quran telah ditubuhkan pada tahun 2004. Bangunan induknya beralamat di No.63, Lorong Amalina 3, Taman Amalina Jalan Lipis, 27600 Raub, Pahang yang telah didaftarkan di bawah Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang di bawah kategori Maahad Tahfiz.

Pihak Madrasah Darul Tahfiz Wa’Ulumul Quran Lil Banat giat berusaha untuk merealisasikan pembinaan bangunan baru Madrasah Darul Tahfiz Wa’Ulumul Quran Lil Banat dan berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi menyediakan kelengkapan fasiliti kepada pelajar seperti tempat belajar, tempat penginapan, tempat makan pelajar serta pelbagai lagi kemudahan untuk melahirkan generasi huffaz yang cemerlang dan berakhlak.

Sehingga kini Madrasah Tahfiz Darul Tahfiz Wa’ulumul Quran Lil Banat telah berjaya mengumpul sebanyak RM92 ribu dan masih memerlukan sebanyak RM15.9 juta bagi mencukupi dana sasarannya iaitu RM16 juta untuk merealisasikan hasrat membina Madrasah Tahfiz Darul Tahfiz Wa’ulumul Quran Lil Banat di tanah seluar 11 ekar yang terletak di Kampung Temau, Ulu Dong, Raub, Pahang.

Pada bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita berinfaq dengan menyumbang kepada Madrasah Darul Tahfiz Wa’ulumul Quran Lil Banat menerusi MAYBANK – 5562 4401 7501. Anda juga boleh menghubungi talian 019 227 1224 untuk menyumbang atau terus ke laman web kami di www.madrasahwaulumulquran.com atau ke laman Facebook kami untuk maklumat lebih lanjut.