Seronok lakukan maksiat, ada sebab Allah tangguhkan hukuman-Nya

PERNAH suatu ketika dahulu umat Islam berasa amat tercabar maruah apabila seorang lelaki dengan bangganya menghebahkan keberadaannya di depan Kaabah sewaktu menunaikan umrah dengan berpakaian wanita.

Bagaikan satu siri terancang dalam memarakkan kemarahan umat Islam, timbul pula isu wanita berimej pengkid menunaikan umrah dalam keadaan tidak menutup aurat.

Sudah pasti telah ada yang menegur secara tertutup, apatah lagi teguran secara terbuka oleh netizen yang kebanyakannya mempertikaikan tindakan yang seolah-olah mencabar ajaran agama.

Dari satu segi kita bersyukur kerana masih ramai warga maya yang berpegang teguh kepada agama dan sensitif kepada sebarang bentuk penghinaan terhadap agama secara tidak langsung sebegini. Ini bertepatan dengan saranan agama Islam yang menggesa umat Islam menegur sebarang kemungkaran.

Tugas ini juga telah diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada umat Baginda iaitu mereka yang tidak mencegah kemungkaran sedangkan dia mampu, maka akan dibimbangi akan ditimpa azab dari Allah. Sabda Rasulullah:

“Tiada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dalam kalangan mereka yang mampu mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya” (HR Abu Daud)

Seorang lelaki memakai telekung ketika melakukan umrah.

Kita mungkin hairan terhadap mereka yang masih kekal melakukan kemungkaran walaupun pelbagai nasihat telah disampaikan secara berhikmah hatta teguran melalui kritikan di media sosial. Umpama mencurah air ke daun keladi, mereka tidak serik dengan kritikan, malah teguran secara baik juga tidak memagut nurani mereka.

Menurut Dr Ahmad Sanusi Azmi, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah USIM dalam saluran Telegramnya, perkara ini berlaku kerana keseronokan melakukan maksiat itu adalah salah satu bentuk hukuman dan balasan yang Allah berikan kepada manusia. Allah menghukum mereka dengan mencabut rasa takut kepada Allah. Inilah seberat-berat azab bagi seorang muslim sehingga mereka tidak rasa gentar melakukan dosa.

Kata Abu Hazim bin Dinar, “Sekiranya engkau perhatikan Tuhanmu kerap mengurniakan nikmat setelah engkau melakukan maksiat, maka berhati-hatilah.” (Ṣifah al-Ṣafwah, 1/386)

Kita mungkin hairan terhadap mereka yang masih kekal melakukan kemungkaran walaupun pelbagai nasihat telah disampaikan secara berhikmah hatta teguran melalui kritikan di media sosial. Umpama mencurah air ke daun keladi, mereka tidak serik dengan kritikan, malah teguran secara baik juga tidak memagut nurani mereka.

Dr Ahmad juga memetik kisah peringatan Al-Imam Ibn al-Jauzi tentang seorang lelaki pada zaman Bani Israel yang secara berterusan melakukan maksiat tetapi beliau kekal atas nikmat dan Allah tidak memberikan sebarang hukuman ke atasnya. Lalu dia bertanya:

 “Wahai Tuhanku, berapa banyak dosa yang telah aku lakukan tetapi mengapa Tuhan masih belum memberikan aku hukuman? Lalu dikata kepadanya: Sesungguhnya Tuhanmu telah memberikan azab dalam keadaan yang tidak engkau sedari. Bukankah telah dicabutkan dari hatimu untuk merasakan keseronokan bermunajat kepada Tuhanmu? (Ṣayd al-Khātir, 27)

Manakala Al-Imam Ibn Hajar pula berkata adakalanya Allah memberikan tempoh panjang buat seseorang itu agar dia kekal dalam pendustaannya dalam hukuman yang tidak dia sedari.

Maka umat Islam yang telah melaksanakan kewajiban menegur usahlah kecewa dengan tindakan tidak sedar diri mereka yang terus-terusan mencabar agama kerana yang rugi adalah si pendosa itu sendiri kerana menjauhkan dirinya dari kebaikan.

Usaha kita sebagai umat Islam adalah menegur dan cuba membawa mereka ke jalan benar. Berjaya atau tidak usaha kita itu serahlah kepada Allah kerana hanya Dia yang memegang hati-hati hamba-Nya.

Gambar: Tangkap layar daripada media sosial mengenai isu seorang pengkid berpakaian ihram menunaikan umrah baru-baru ini.

(16)

Seronok lakukan maksiat, ada sebab Allah tangguhkan hukuman-Nya

| Agama, Semasa | 0 Comments
About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>