Sikap jaga tepi kain orang dan kisah OKU hidup sendirian

KISAH kehidupan warga emas OKU, Pakcik Zulkhairi ini mungkin dapat membuka mata kita sekaligus memberi jawapan kepada persoalan adab hidup berjiran khususnya sikap ambil tahu sesama jiran atau istilah ‘jaga tepi kain orang’.

Dalam usia yang seharusnya dilalui dengan nikmat ketenangan hidup, beliau sebaliknya tinggal bersendirian dalam sebuah ruang kecil, lebih tepat dinamakan stor. Keadaan ruang yang tidak terurus dengan baik serta sempit untuk dihuni boleh membuatkan sesiapa sahaja yang mempunyai masalah ‘claustrophobia’ sesak nafas dan mengalami trauma.

Menurut beliau, sebagaimana laporan Skuad Jejak Asnaf MAIWP melalui laman Facebooknya Isnin lalu, Pakcik Zulkhairi mempunyai ramai adik-beradik namun kebanyakan mereka tidak dapat memberikan perhatian kepadanya memandangkan masing-masing telah mempunyai kehidupan sendiri.

Nasibnya agak bertuah kerana walaupun tidak mempunyai sebarang pendapatan beliau masih dapat meneruskan hidup dengan bantuan ehsan orang sekeliling dan ahli keluarga yang terdekat. Rezeki Allah untuk beliau yang disampaikan melalui hasil sikap ambil tahu dan keprihatinan jiran-jiran inilah membolehkan beliau meneruskan kehidupan berbaki.

Pakcik Zulkifli ketika ditemui di para petugas Skuad Jejak Asnaf di tempat tinggalnya.

Kesukaran hidup warga emas yang mendapat perhatian MAIWP ini melalui laporan daripada jiran yang prihatin ini memberikan sedikit sinar kepada beliau.

“Sungguhpun Pakcik Zulkhairi adalah Orang Kelainan Upaya (OKU) dan percakapan tidak jelas didengari namun raut wajah disamping gerakan bibir jelas menunjukkan beliau berterima kasih dengan kehadiran kami,” jelas MAIWP.

Sekiranya tiada jiran peduli akan nasib yang menimpa insan seperti beliau dan hidup dengan sikap keakuan, tidak hairanlah suatu hari nanti insan senasib begini meninggal kelaparan sendirian dan hanya ditemui setelah jasadnya luluh sebagaimana berita yang sering kita baca di dada akhbar atau di media.

Kisah warga emas meninggal sendirian kerana sikap tidak bertanggungjawab ahli keluarga ataupun kerana sikap tidak cakna masyarakat tentang adab berjiran mungkin akan bertambah seiring gaya hidup dan budaya hidup bermasyarakat masakini.

Andaikata kita bertanya pada Pakcik Zulkhairi perlu atau tidak sikap jaga tepi kain orang, apa jawapan yang anda rasa beliau berikan?

(10)

Sikap jaga tepi kain orang dan kisah OKU hidup sendirian

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>