PERIBAHASA “kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari” tepat menggambarkan pengalaman hidup yang ditempuh keluarga ini. Kehidupan yang selesa dinikmati Zira dan keluarganya berubah secara tiba-tiba akibat ujian sakit.
Zira, ibu kepada dua anak ditimpa sakit angin ahmar dan jangkitan kuman pada injap jantung. Beliau dinasihatkan doktor agar menjalani pembedahan dengan kadar segera. Keadaan bertambah sukar apabila suaminya Kam terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk menguruskan penjagaan dan rawatan isterinya yang terpaksa bergantung pertolongan orang lain.
Mengikut nasihat dan saranan doktor, pembedahan berjaya dilakukan mengikut masa yang telah ditetapkan hospital. Namun keluarga ini kini terbeban dengan hutang pembedahan yang berjumlah kira-kira RM45,000.00.
Dengan gaji yang rendah amatlah mustahil bagi Kam mampu menyelesaikan tunggakan hutang tersebut sementara beliau masih dalam tempoh cuti tanpa gaji memandangkan isterinya itu masih dalam proses penyembuhan.
Zira dikatakan banyak menghabiskan masa dengan hanya terlantar di atas katil dan hanya bangun dan bergerak bagi menjalani beberapa sesi fisioterapi. Ingatannya juga sudah lemah dan menghadapi masalah kognitif akibat keadaannya itu.
Dalam dugaan seperti ini, apalah sangat ikhtiar yang mampu dilakukan ketua keluarga ini. Namun begitu Allah Yang Maha Penyayang menurunkan bantuan-Nya melalui pihak Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP apabila menziarahi keluarga ini untuk melihat keadaan Zira sekaligus menawarkan bantuan yang bersesuaian daripada skim-skim Baitulmal.
Menghadapi ujian hidup seperti ini, hanya Allahlah sebaik-baik tempat mengadu dan tempat memohon pertolongan, dan bantuan daripada-Nya akan tiba pada masa dan waktu yang sangat sesuai sebagaimana yang berlaku kepada keluarga Zira.
Gambar: Zira dan suami ketika menerima kunjungan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP di kediaman mereka Selasa lalu. (FB Baitulmal MAIWP)