‘Syurga daddy’ – bapa yang tidak lupa tikar sembahyang, bukan bapa ketam

ISU ‘sugar baby’ dan ‘sugar daddy’ hanyalah gelaran baharu bagi penyakit lama yang kian menular dalam masyarakat kita. Cuma kini maksiat itu telah berani diketengahkan secara ‘halal’ seiring dengan kemajuan dunia teknologi. Semakin canggih teknologi, semakin terkini jenis maksiatnya.

Pendedahan laman sesawang temu janji terbesar di dunia, SeekingArrangement mengenai Malaysia berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara Asia mempunyai ‘sugar daddy’ teramai dengan 42,500 orang membuktikan masyarakat kita semakin parah kerana gaya hidup berteraskan material menjadi anutan.

Dalam pelbagai pihak saling menuding jari sesama sendiri, harapnya tiada yang lupa peranan institusi keluarga dalam pembentukan generasi terdidik, terutamanya peranan bapa sebagai pemimpin dan pembimbing keluarga.

Firman Allah dalam Surah At-Tahrim, ayat 6 mengingatkan peranan bapa sebagai pemimpin keluarga; “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.”

Pemimpin keluarga perlu melorongkan ahli keluarga mengikut sistem rumah tangga yang patuh syariah sehingga seluruh ahli keluarga dapat mengikut spesifikasi syariah Islam yang ditetapkan. (Foto: Sinar Harian)

Seorang bapa bukan sahaja berperanan sebagai sumber rezeki keluarga, lebih dari itu ialah pemimpin yang membimbing keluarganya ke arah kehidupan benar berkompaskan agama. Limpahan rezeki kepada keluarga semata-mata tanpa didikan rohani tidak akan menghasilkan generasi yang dikehendaki agama.

Dalam menyediakan rezeki kepada ahli keluarga, bapa seharusnya menunjukkan contoh betapa perlunya mencari sumber halal sebagai rezeki kerana ia berperanan besar dalam pembentukan akhlak dan keperibadian anak. Makanan ‘kotor’ kebiasaannya akan menyebabkan anak cenderung mencari sumber yang tidak halal juga.

Pemimpin keluarga perlu melorongkan ahli keluarga mengikut sistem rumah tangga yang patuh syariah sehingga seluruh ahli keluarga dapat mengikut spesifikasi syariah Islam yang ditetapkan. Jangan pula menjadi ketam yang hanya menyuruh anaknya berjalan betul walhal dia sendiri tidak kenal tikar sembahyang.

Dengan keadaan langit terbuka yang memberi ruang besar terhadap pergaulan anak-anak, bapa perlu ambil tahu kehidupan seharian keluarga. Amalan “Tanya mak kamu” tidak sepatutnya berlaku.

Ibadah dalam keluarga yang diterap sejak kecil akan menjadi antibodi yang kuat melawan penyakit sosial yang menyerang. Dengan keadaan langit terbuka yang memberi ruang besar terhadap pergaulan anak-anak, bapa perlu ambil tahu kehidupan seharian keluarga. Amalan “Tanya mak kamu” tidak sepatutnya berlaku.

Ikatan yang erat antara bapa dan anak akan mewujudkan kasih-sayang dan kemesraan dalam keluarga di mana anak-anak akan berkongsi banyak rahsia dan kehidupan mereka dengan bapa.

Apabila bapa dijadikan rujukan dan tempat bermanja, mereka sukar berkalih kasih kepada lelaki yang dahagakan kasih sayang dan ambil kesempatan dari kekosongan hati mereka.

Anak-anak yang telah melihat ‘syurga’ di rumah mereka tidak lagi memandang harta di luar sana.

Gambar: Walaupun aplikasi Sugarbook telah disekat, ibu bapa tidak seharusnya berasa lega dan lepas tangan, sebaliknya terus mengawasi kehidupan anak.

(20)

‘Syurga daddy’ – bapa yang tidak lupa tikar sembahyang, bukan bapa ketam

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>