July 27, 2024 12:23 PM
LOGO-HBIT

Tembok penghadang telah lama dikorek Yakjuj dan Makjuj

YAKJUJ dan Makjuj adalah manusia biasa berketurunan Nabi Adam a.s dari keturunan Yafis bin Nuh. Mereka bukanlah makhluk asing sebagaimana difahami sesetengah manusia. Mereka ini terkurung di sebuah lokasi bermula pada zaman Raja Iskandar Zulkarnain.

Tubuh mereka tegap dan terkenal dengan membuat kerosakan di mana sahaja mereka berada dan makan semua jenis makanan termasuk binatang berbisa. Al-Maraghi menyebut apabila mereka lalu suatu kawasan, mereka akan merosakkan apa sahaja yang ada di laluan itu dan membunuh serta menyeksa semua manusia yang ditemui.

Hal ini diceritakan Ustaz Jaffri dalam rancangan Riwayat Akhir Zaman Musim 1, Episod 3 di mana kata beliau, dalam sebuah hadis, diriwayatkan bahawa sewaktu Rasulullah SAW tidur di rumah Zainab r.a Baginda bangun dari tidur, Baginda dalam keadaan merah mukanya dan mengucapkan, “Tiada Tuhan selain Allah” dan diulangi sebanyak tiga kali kemudian Baginda bersabda: ‘Celakalah bagi kaum Arab daripada bala yang sangat hampir; pada hari ini sudah terbuka empangan Yakjuj dan Makjuj seperti ini.

Nabi Muhammad SAW pun menunjukkan sepuluh jarinya. Zainab berkata: “Wahai Rasulullah, adakah kita tetap akan binasa meskipun di sisi kita masih ada orang salih?” Jawab Rasulullah: “Ya, bahkan sekiranya terlalu banyak kemaksiatan berlaku.”

Kemudian Baginda menunjukkan tanda bulatan dengan mengenakan hujung ibu jari dengan hujung jari telunjuk sambil berkata, “Hari ini sebuah lubang sudah dibuat tembok.”

“1400 tahun lalu tembok yang membentengi Yakjuj dan Makjuj telah berlubang sebesar itu. Yakjuj dan Makjuj tidak henti-henti melubangkan tembok itu sehingga kini,” jelas Ustaz Jaffri.

Kisah Yakjuj dan Makjuj diceritakan oleh Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi  dalam rancangan Riwayat Akhir Zaman yang dapat ditonton dalam aplikasi AlHijrah Plus.

“Allah menceritakan kepada Nabi Adam a.s untuk memasukkan anak cucunya ke dalam neraka. Nabi Adam a.s bertanya berapa jumlah yang akan masuk neraka tersebut. Allah menyatakan daripada seribu orang hamba, 999 orang dimasukkan ke dalam neraka dan hanya seorang layak masuk Syurga,” sambung Ustaz Jaffri.

Namun Baginda Rasulullah SAW menjelaskan kepada sahabat, “Bergembiralah kamu kerana 999 orang itu adalah kalangan Yakjuj dan satu itu adalah kalangan kamu.”

Penjelasan ini menunjukkan betapa ramainya golongan Yakjuj dan Makjuj ini. Juga dikhabarkan tidak akan mati seorang Yakjuj atau Makjuj ini melainkan telah ada seribu orang waris daripadanya.

Gambaran ulamak tentang keadaan fizikal Yakjuj Makjuj ini ialah bermuka pesek, matanya sempit atau sepet, mempunyai teknologi sendiri dan tidak berhubung dengan dunia luar.

Telah dikhabarkan juga tiada satu tentera pun yang mampu menewaskan Yakjuj Makjuj, sehingga Nabi Isa a.s bermunajat menunggu bantuan Allah.

Apabila tembok terbuka, mereka akan meluru turun. Surah Al-Anbia’ Ayat 96 menggambarkan keadaan ini; (Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.”

Digambarkan apabila Yakjuj Makjuj tiba di Tasik Tabariyyah di Palestin, mereka meminum airnya sehingga kering air tasik oleh kerana ramainya mereka.

Oleh kerana kedahsyatan dan kezaliman mereka ini Nabi Isa a.s tidak diperintahkan untuk melawan mereka, sebaliknya diperintah Allah bersembunyi di bukit yang dikatakan ulamak sebagai Bukit Tursina.

Apabila habis manusia dan segala makhluk dimakannya, Yakjuj dan Makjuj memandang ke langit dan mengeluarkan tombak untuk membunuh makhluk Allah di langit. Allah meletakkan darah di tombak mereka supaya mereka tertipu kononnya segala makhluk Allah di langit telah terbunuh.