SEORANG peminat bola sepak Piala Dunia di Qatar yang terharu dengan keberkesanan dakwah bil hal (dakwah melalui perbuatan nyata) di mana para peminat solat di ruang terbuka meluah rasanya,
“Salah satu keindahan Piala Dunia di Qatar ialah mereka membuat tempat solat dari kaca di semua sisi, supaya orang bukan Islam boleh melihat mereka yang sedang solat.
“Hari ini, semasa saya solat Isyak di Stadium Al-Bayt, saya perhatikan ada seorang lelaki warga asing berdiri memerhati. Dia memanggil saya dan memberitahu bertanya berapa kali saya solat dalam sehari?
“Jadi saya menerangkan kepadanya, solat wajib lima waktu manakala solat sunat pula bagi menggandakan pahala.”
Sebaik sahaja dijelaskan jumlah solat, lelaki warga asing tadi terus bertanya kepada lelaki muslim tersebut tentang waktu solat.
“Waktu solat tidak ditetapkan mengikut waktu jam, tetapi dikira mengikut pergerakan matahari,” jelasnya.
Lelaki warga asing yang berminat tentang solat terus bertanya cara mengira masuknya waktu setiap solat kepada lelaki muslim tersebut.
“Saya membuka aplikasi untuk waktu solat dan menunjukkan kepadanya bahawa setiap beberapa hari jamnya berbeza-beza, dan saya mula menerangkan kepadanya setiap solat apabila waktunya, dan dia kagum dan terkejut,” jelasnya lagi.
Akhirnya lelaki warga asing itu meminta lelaki muslim mengulang semula penerangannya dengan tujuan merekod semua penjelasan tersebut.
Perbualan mereka berdua yang dimuat naik melalui hantaran di laman Facebook Dr Muhammad Salah semalam membuktikan kekuatan kuasa dakwah bil hal mempunyai pengaruh yang besar pada diri penerima dakwah. Ia mampu mencetuskan rasa ingin tahu dan minat kepada agama suci ini.
Menoleh kepada sirah, pada saat pertama kali Rasulullah SAW tiba di kota Madinah, Baginda terlebih dahulu menunjukkan contoh dakwah bil-hal ini dengan mendirikan Masjid Quba’ dan mempersatukan kaum Ansar dan kaum Muhajirin dalam ikatan ukhuwah Islamiah.
Perkongsian Dr Muhammad tersebut dikongsi oleh 12 ribu orang dan rata-rata komen warga maya dari seluruh pelosok dunia memuji tindakan Qatar berdakwah dengan cara tersebut serta mendoakan penduduk Qatar dipelihara Allah SWT.
Gambar: Dua lelaki sedang memerhatikan peminat bola sepak Piala Dunia Qatar sedang solat di Stadium Al-Bayt. (FB: Dr. Muhammad Salah)