Tidak peduli cemuhan kepada guru, ahli panitia sebuah sekolah serbu pasaraya beli sejadah

CIKGU salah sebut perkataan bahasa Inggeris, cikgu tidak mahir ajar dalam talian, cikgu tidak cekap kuasai teknologi dan macam-macam perlekehan lagi diterima golongan pendidik akhir-akhir ini. Segala kekurangan para guru diungkit, termasuk juga oleh para ibu bapa.

Namun bagai perumpamaan ular menyusur akar tidak hilang bisanya, guru yang sedar akan tugasnya akan menyerap sebarang teguran bernilai positif dan meneruskan perjuangannya mendidik anak bangsa.

Guru berkualiti menganggap semua cemuhan itu sebagai kemuncup yang melekat di kaki kain; tidak harus membazir masa berhenti mencabutnya, sebaliknya teruskan perjalanan dan kemuncup itu boleh sahaja dicabut selepas sampai ke tempat dituju.

Ahli Panitia Pendidikan Islam dalam pakaian seragam berganding bahu menjayakan usaha membekalkan sejadah kepada calon SPM di sekolah mereka setelah mendapati pelajar sidang petang ke sekolah tanpa sejadah. Empat dari kiri: Puan zalina Hassan, Pengetua SMK Kompleks Seberang Takir. Foto: FB Wan Zaleha

Sifat cakna dan bertanggungjawab sekumpulan pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu beberapa hari lepas membuktikan ikatan hati antara guru dan anak murid bukanlah hanya berkisar pada urusan akademik semata-mata.

Ahli Panitia Pendidikan Islam sekolah itu mengesan terdapatnya calon SPM sidang petang tidak membawa sejadah sewaktu hadir ke sekolah; mungkin kerana terlupa kerana dalam kepala hanya fikir urusan peperiksaan sahaja.

Maka tanpa banyak selidik, ahli panitia tersebut berbincang untuk menghadiahkan sejadah kepada mereka untuk memudahkan urusan menunaikan ibadah.

Hanya melalui WhatsApp kumpulan mereka berbincang dan tanpa arahan khusus, setiap ahli panitia seakan-akan sudah tahu peranan masing-masing.

“Roslina Ismail sukarela buat tinjauan, dengan segera membeli belah keperluan dan membungkusnya. Esoknya semua muncul tanpa agihan tugas. Ini hasil kerjasama ahli panitia yang awesome. Tengok pakaian seragam pun dah tahu sehati sejiwa. Terima kasih Puan Pengetua, Puan Zalina Hassan,” catat pemilik laman Facebook Wan Zaleha ini.

Menurut Cikgu Wan Zaleha, usaha ahli panitia mengadakan program “Di Sini Aku Bersujud” itu juga mendapat sokongan padu Pengetua sekolah tersebut yang sudi hadir ke acara itu walaupun hanya diberi notis singkat.

Hakikatnya, banyak lagi usaha murni para pendidik yang dilakukan di luar tugas mereka, cuma bukan semua guru mempamerkannya kepada umum, malah tidak pernah pula meminta sanjungan atau pujian.

Hakikatnya, banyak lagi usaha murni para pendidik yang dilakukan di luar tugas mereka, cuma bukan semua guru mempamerkannya kepada umum, malah tidak pernah pula meminta sanjungan atau pujian.

Mereka yang ikhlas bertugas ini selalunya ambil tahu masalah pelajarnya dan berkorban masa dan tenaga tanpa dipaksa agar anak didiknya berjaya bukan sahaja di dunia tetapi khususnya di Akhirat.

Maka tidak selayaknya para ibu bapa yang ‘menyandang’ tugas para guru buat seketika cuma, melontarkan cemuhan kepada guru yang mungkin ada sedikit kesilapannya dalam mengendalikan PdPR; sedangkan ramai juga ibu bapa bertukar menjadi ‘singa’ hanya dalam kadar sehari mengajar anaknya.

Gambar: Sejadah yang akan diagihkan kepada calon SPM SMK Kompleks Seberang Takir. (FB: Roslina Ismail)

(5)

Tidak peduli cemuhan kepada guru, ahli panitia sebuah sekolah serbu pasaraya beli sejadah

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>