July 27, 2024 2:51 PM
LOGO-HBIT

Tiga tanda kemunculan Imam Al-Mahdi

DARAH yang mengalir dalam urat nadinya ada talian dengan Rasulullah SAW, kemunculannya dinanti oleh pengikut yang taat setia. Kemunculannya adalah transisi daripada tanda-tanda kecil kepada tanda-tanda besar sebelum berlakunya Kiamat.

Rasulullah SAW pernah menyebut “Kalaupun umur dunia ini tinggal satu hari lagi, namun Allah tetap akan membangkitkan seorang lelaki dari kami, yang akan memenuhi dunia dengan keadilan, sebagaimana telah dipenuhi dengan kezaliman.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Imam Al-Mahdi berketurunan Baginda Rasulullah SAW melalui susur galur cucu Baginda, Al-Hasan. Lahirnya di Madinah dan namanya sama dengan salah satu nama Baginda. Rasulullah memperihalkan watak Imam Al-Mahdi sebagai pemuda yang mempunyai akhlak yang sama dengan Baginda, cuma sedikit berbeza dari segi rupanya.

Diriwayatkan oleh Abu Daud, Rasulullah SAW berkata yang membawa maksud “Al-Mahdi itu berasal dari keluargaku, dahinya lebar, hidungnya mancung, memenuhi bumi ini dengan kebenaran dan keadilan sebagaimana bumi telah dipenuhi dengan kezaliman dan kejahatan, dan dia berkuasa selama tujuh tahun.”

Antara tanda-tanda munculnya Imam Mahdi ialah memuncaknya kezaliman pada zaman itu, kematian seorang khalifah berlaku dan berlakunya perebutan pewaris takhta dan khazanah dalam Kaabah.

Tangkap layar video rancangan Riwayat Akhir Zaman dari aplikasi AlHijrah Plus.

Dari Madinah Imam Al-Mahdi ke Mekah dan dibaiah ketika berada di sisi Kaabah pada musim haji. Paling istimewa mengenai Imam Al-Mahdi ialah diberikan oleh Allah ialah ilmu hikmah, diampunkan segala dosa dan diangkat menjadi pemimpin dalam tempoh satu malam sahaja.

Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud; “Al-Mahdi dari kami, Ahlul Bait. Allah membuatnya soleh dalam satu malam.” (Hadis Riwayat Ahmad).

“Tuan-tuan boleh bayang atau tidak bagaimana keadaan kita seandainya kita bertemu dengan Imam Al-Mahdi. Mungkin waktu itu kita kenal siapa dia, mungkin dia salah seorang daripada rakan kita di media sosial, dan apabila dia datang kepada kita dengan pengikut-pengikutnya dan diberitakan kepada kita inilah Imam Al-Mahdi yang telah dipilih oleh Allah, dan mungkin kita akan menjadi orang yang menentangnya,” kata Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dalam rancangan Riwayat Akhir Zaman Musim 1 Episod 4.

Setelah dibai’ah Imam Al-Mahdi akan dibawa ke Syam di mana tentera-tentera yang membawa bendera hitam telah pun bersiap untuk berbai’ah dengannya.

Rasulullah SAW berpesan supaya umat Islam mengikut kumpulan Imam Al-Mahdi sedaya-upaya yang mampu walaupun terpaksa merangkak di atas salji.

Dalam hal ini ulamak berbincang untuk menterjemah makna merangkak di atas salji tersebut dengan maksud gambaran kesusahan pada waktu tersebut dan ketiadaan pemimpin selainnya yang boleh diikuti. Justeru itu gesaan untuk mendatangi Imam Al-Mahdi untuk berbai’ah dengannya walau bagaimana susah sekalipun menandakan betapa pentingnya mengikut pemimpin yang benar.

Kemunculannya juga merobek keegoaan sesetengah umat Islam yang mungkin mengukur kepimpinan seseorang itu berdasarkan kehebatan berbentuk fizikal dan material kerana Imam Al-Mahdi terpilih daripada kalangan manusia yang kelihatan biasa dalam masyarakat. Hanya mereka yang mempunyai keimanan dan ketulusan hati akan dapat menerima pilihan yang ditentukan Allah itu.

Terdapat juga pendapat yang menyatakan maksudnya merujuk kepada petunjuk tempat munculnya Imam Al-Mahdi, iaitu lokasi yang bersalji serta pendapat yang menjangkakan kemunculan itu akan berlaku dalam musim salji yang berlaku di kawasan padang pasir.

Dalam riwayat-riwayat menceritakan bahawa Imam Al-Mahdi dan tentera-tenteranya akan bersatu dengan kelompok bukan Islam dan akhirnya apabila beroleh kemenangan mereka mengangkat Tuhan mereka dan salib sebagai tanda kesyukuran kemenangan sehingga menimbulkan kemarahan Imam Al-Mahdi.

Perkara ini menimbulkan peperangan antara Imam Al-Mahdi dan kelompok ini sehingga diumpamakan sekiranya burung melintasi kawasan tersebut akan terjatuh akibat kesan peperangan yang amat dahsyat itu.

Namun tentera-tentera Imam Al-Mahdi beroleh kemenangan dan bersatu dan berhimpun di Masjid Umawi untuk memerangi tentera Dajjal. Pada waktu mereka bersiap-siap untuk solat Subuh, Nabi Isa a.s turun untuk bersama Imam Al-Mahdi dan pengikut-pengikutnya.

Gambar hiasan: Umat Islam digesa menyertai Imam Al-Mahdi untuk berbai’ah walaupun sekiranya terpaksa merangkak di atas salji. (Imej janaan Bing)