Tilmizah Firza salur kerinduan kepada arwah Tok Ayah melalui Akademi Qurra 2024

RINDU pada yang telah tiada adalah derita jiwa yang tak tergambar oleh kata. Namun kenangan dan peninggalan dia yang pergi kadangkala boleh mengurangkan sedikit rasa rengsa di jiwa itu; salah satunya dengan menghidupkan kenangan itu.

Kerinduan kepada belaian kasih sayang arwah datuknya yang dipanggil Tok Ayah, Tilmizah Firza, peserta Akademi Qurra (AQ) 2024 merawat jiwanya dengan Al-Quran. Dengan kata lain, menyertai AQ adalah lambang ingatan berpanjangan Firza kepada arwah To Ayah yang bertanggungjawab membawa beliau ke bidang tarannum Al-Quran.

Membesar dengan kasih sayang datuk dan nenek adalah pengalaman yang tidak dirasai oleh semua orang. Kata orang tua-tua, nenek dan datuk akan menyayangi cucunya melebihi kasih sayang mereka pada anak. Cucu-cucu yang membesar dengan mereka ini lazimnya mempunyai jiwa yang halus dan kaya kasih-sayang lantaran diasuh dengan perasaan itu sejak kecil.

Sungguh besar jasa Tok Ayah, bukan hanya membekalkan kasih sayang untuk cucunya, Almarhum juga memupuk kecintaan kepada Al-Quran dalam jiwa Firza. Amalan baik itu diteruskan Firza sebagai kesinambungan cinta Tok Ayahnya kepada Kalam Ilahi.

“Saya dibesarkan oleh arwah Atok (Tok Ayah) dan Nenek (Tok Mak) saya.  Sehinggalah saya berumahtangga saya masih lagi tinggal bersama dengan mereka sehingga tahun ketiga perkahwinan.

Tilmizah Firza (dua dari kiri) bersama peserta-peserta Akademi Qurra 2024.

Arwah Tok Ayah meninggal dunia pada bulan Mei 2022. Pemergiannya umpama merenggut seluruh semangat saya.

Namun saya sedar saya harus bangkit meneruskan perjuangan ini tanpa dia, saya percaya dia pasti bahagia di Sana,” luah Firza.

Sebagai cucu yang dibesarkan penuh tanggungjawab, Firza kini menguruskan Tok Mak yang sedang uzur dan terbaring di katil. Menurut Firza, walaupun dalam kesakitan, Tok Mak tidak putus-putus berzikir dan berselawat.

“Pernah saya ‘outstation’ seminggu, bila balik ‘outstation’, Tok Mak dapat ‘bedsore’. Menangis saya waktu itu. Tiga minggu saya ulang alik ke rumah Tok Mak, setiap kali waktu makan tengah hari dan lepas balik kerja saya akan duduk sampai malam. Selepas Tok Mak dah siap solat dan makan, baru saya balik ke rumah saya,” jelas Firza.

Rutin harian Firza menguruskan Tok Mak dari menyalin lampin pakai buangnya, memandikannya menemaninya, melayani bicaranya, mengaji bersama serta solat bersama dilakukan dengan penuh kasih walau sesibuk manapun beliau.

“Kalau ditanya soal letih, saya tak nafikan ia memang letih. Tapi Alhamdulillah, Allah bantu… Saya gembira buat semua ni sebab cinta dan kasih sayang saya pada Tok Mak mengatasi segala kesakitan dan keletihan itu,” ujar Firza lagi.

Detik-detik mendebarkan bagi para peserta ketika menunggu pengumuman peserta yang bakal tersingkir dari Akademi Qurra 2024.

Bagi Firza, beliau mahu memanfaatkan saat-saat bersama insan tercinta dan menikmati keindahan itu selagi Tok Mak berada di sisi. Keperitan yang dirasai ketika kehilangan Tok Ayah itu dijadikan perangsang untuk berbakti kepada insan tersayang selagi berpeluang.

“Setiap momen ini akan benar-benar saya nikmati, kerana kelak saya pasti akan didera kerinduan padanya sebagaimana saya rindukan arwah Tok Ayah,” luah Firza.

Tilmizah Firza antara peserta Akademi Qurra 2024 yang memperoleh markah tertinggi pada minggu pertama rancangan itu iaitu sebanyak 92 peratus.

Diadili oleh Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman selaku juri tetap dan dibantu oleh Ustaz Muhammad Qayyim Nizar Sarim, seramai 12 peserta mempamerkan keunikan masing-masing untuk dipilih sebagai juara Akademi Qurra’ 2024.

Akademi Qurra’ 2024 bersiaran secara langsung menerusi saluran TV AlHijrah, setiap Sabtu, jam 9 malam.

Dihoskan oleh Raqib Majid, Akademi Qurra’ 2024 turut menampilkan seorang Mudarris dan dua Mudarrisah yang bertindak selaku tenaga pengajar.

Gambar: Tilmizah Firza ketika bersama Tok Mak dan Tok Ayahnya (Almarhum) pada tahun 2020.

(708)

Tilmizah Firza salur kerinduan kepada arwah Tok Ayah melalui Akademi Qurra 2024

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>