TV AlHijrah pikul tanggungjawab sosial sampaikan maklumat dan ilmu, bukan sekadar kejar penarafan

SEBAGAI sebuah stesen televisyen Islam pertama negara ini, TV AlHijrah memikul tanggungjawab sosial yang besar untuk menyampaikan maklumat dan membentuk pemikiran masyarakat ke arah cara hidup Islam yang sebenar.

Sekalipun berdiri sebagai sebuah entiti dalam industri penyiaran dan menuntut TV AlHijrah bersaing dengan banyak stesen dan saluran televisyen lain untuk meningkatkan pendapatan, matlamat utama membangunkan penghayatan Islam yang sebenar tetap menjadi keutamaan.

“TV AlHijrah tidak berada dalam zon selesa kerana mendapat dana daripada kerajaan, sebaliknya seperti stesen lainnya, kami terpaksa berkerja kuat untuk meningkatkan pendapatan daripada iklan. Cuma bezanya, kepentingan dalam hal ehwal Islam tetap menjadi keutamaan,” tegas Namanzee Harris dalam temubual bertajuk “Exploring Islamic Influence on TV AlHijrah with Namanzee Harris” dalam rancangan What’s Stewing? dengan Creative Stew yang disiarkan di laman Youtube itu, semalam.

Beliau menekankan bahawa peranan penting yang didokong oleh TV AlHijrah adalah menyebarluaskan kefahaman mengenai Islam, sama ada dalam kalangan Islam dan bukan Islam. Pada masa sama, hal yang demikian adalah selari dengan penekanan kerajaan yang menolak ekstremisme dalam beragama.

Katanya, TV AlHijrah memberi fokus utama pada program-program Islamik, sekalipun agak mencabar dalam menarik penonton. Program seperti itu tetap diteruskan kerana menyumbang pada pembinaan tradisi ilmu selain memberi maklumat mengenai Islam.

Tradisi ilmu menjadi suatu yang penting sebagai satu landasan untuk melahirkan generasi dan masyarakat berilmu serta mempunyai kefahaman yang betul mengenai Islam, malah ilmu menjadi antara teras penting kewujudan TV AlHijrah.

Untuk berdepan survival dalam industri penyiaran juga, TV AlHijrah turut memberikan tumpuan pada perkembangan dalam industri halal yang memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara. Tidak ketinggalan juga dengan fenomena pelancongan Islam membuka peluang penglibatan pada TV AlHijrah.

“TV AlHijrah berperanan membetul dan memberi maklumat yang sebenarnya mengenai sesuatu salah tanggapan tentang Islam melalui program-program yang menekankan nilai-nilai kemanusiaan sejagat,” ujar Namanzee sambil memberitahu peri pentingnya program-program yang boleh menarik minat dalam kalangan penonton.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris

Beliau memberitahu, stesen televisyen itu secara berterusan mengangkat ilmu yang terkandung dalam Al-Quran dan hadis untuk difahami, seterusnya menjadi rujukan utama dalam menjalani kehidupan. Hal itu kerana terlalu banyak panduan, pedoman dan teladan yang terkandung dalam Al-Quran tetapi ramai yang tidak mengambilnya sebagai manfaat.

Menurutnya, memahami Al-Quran dan hadis boleh membentuk sikap yang rasional dalam berdepan dengan isu-isu yang berkaitan dengan persoalan Islam. Pada masa yang sama membuatkan individu itu tidak terperangkap dengan maklumat yang mengelirukan terutama isu kontroversi berkaitan Islam.

“Semakin banyak kita tahu adalah semakin banyak lagi yang kita tidak tahu. Itu adalah prinsip dalam menuntut ilmu. TV AlHijrah mendokong dan mengalakkan budaya ilmu itu tumbuh dan subur dalam kalangan masyarakat dan perkara itu dilestarikan sepanjang masa,” ujarnya.

Menjawab pertanyaan host Abid Hussain yang juga merupakan Pengasas Creative Stew, Namanzee berkata, TV AlHijrah bukan sahaja menjalinkan hubungan agensi serta pihak berkuasa Islam di negara ini, malah mewujudkan jaringan dengan negara-negara Islam lainnya seperti Arab Saudi. Hubungan ini sangat bermanfaat sehingga membolehkan sembahyang tarawih disiarkan secara langsung dari Mekah.

Sebagai sebuah stesen televisyen Islam juga, Namanzee menekankan bahawa pengisian program-program yang menjurus kepada matlamat membentuk masyarakat Islam yang moden dan progresif sentiasa menjadi teras pada program yang dihasilkan TV AlHijrah.

TV AlHijrah juga memanfaatkan kepesatan teknologi digital untuk memastikan siarannya tidak terbatas dalam negara sahaja, sebaliknya dapat diakses di seluruh dunia melalui platform digital. Malah itu juga satu tindakan realistik dalam berdepan dengan perkembangan semasa teknologi digital dalam dunia penyiaran.

Teknologi digtal bukan sahaja telah membunuh banyak surat khabar bercetak di seluruh dunia malah stesen televisyen konvensional juga menerima kesan yang sangat besar. Banyak stesen televisyen di dunia berdepan kehilangan penonton kerana beralih ke platform digital.

Teknologi itu adalah gelombang yang tidak mampu ditahan oleh sesiapa, maka pendekatan TV AlHijrah adalah menyiapkan diri untuk berdepan dengan perubahan dalam dunia penyiaran pada era digital.

Menurut Namanzee, kelebihan digital juga membolehkan program-program TV AlHijrah sampai kepada masyarakat Islam di seluruh dunia. Hal yang demikian memberi ruang yang lebih luas untuk mempromosi isi kandungan yang membawa nilai-nilai tempatan kepada khalayak antarabangsa.

Mengenai penonton, Namanzee memberitahu, TV AlHjran dari masa ke masa sentiasa berusaha membina khalayak sebagai ekosistem pada stesen televisyen yang bercorak Islamik. Membina khalayak adalah tanggungjawab yang berterusan, bukan sahaja demi kelestarian TV AlHijrah malah meluaskan khalayak yang mendokong kefahaman Islam yang benar, moden dan progresif.

Gambar: Namanzee Harris (kiri) sedang ditemubual Abid Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif Creative Stew.

(107)

TV AlHijrah pikul tanggungjawab sosial sampaikan maklumat dan ilmu, bukan sekadar kejar penarafan

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>