SALAH satu keistimewaan menjadi orang Islam ialah menjadi hamba kepada Pencipta, namun berstatus merdeka. Datangnya Islam mengubah cara dan sistem hidup yang sebelum ini banyak memperhambakan sesama manusia atas nama penjajahan; yang kuat menjadikan yang lemah hambanya.

Selain membebaskan manusia dari perhambaan oleh manusia lain, Islam juga mengajar umatnya untuk membebaskan diri dari menjadi hamba hawa nafsu, kegilaan pangkat kedudukan mahupun kepada harta benda. Tunduk dan patuh hanya kepada Allah SWT.

Hal ini demikian kerana perhambaan yang dilakukan oleh suatu pihak terhadap manusia lain itu sangat hina dan menyalahi hak asasi insan yang telah dijamin kemerdekaannya oleh agama. Ia sangat bertentangan dengan ciri-ciri masyarakat bertamadun yang memegang nilai kesejahteraan dan kedamaian.

Menyedari perkara inilah para pejuang tanah air yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan ulamak bersungguh-sungguh berjihad membebaskan negara kita dari sebarang bentuk penjajahan kuasa luar dengan berkorban masa, harta benda dan diri mereka. Sekalipun sangat jarang disebut atau dicatat sebagai pejuang kemerdekaan, hakikatnya cetusan awal ke arah sebah negara yang merdeka digerakkan oleh para ulamak sekitar awal abad ke-20.

Sejarah dan laluan hingga negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 penuh onak dan duri. Nilainya sangat tinggi kerana perjuangan yang panjang itu mengorbankan tidak sedikit keringat, air mata dan darah mereka. Kemerdekaan yang dikecapi selama lebih enam dekad ini membawa makna yang sangat besar kepada semua rakyat.

Ulamak pejuang Tanah Melayu, Tok Gajah (kiri) dan Tok Kenali (kanan).

Asas jiwa merdeka telah dibina seawal itu oleh para ulamak di Nusantara termasuk Tanah Melayu. Mungkin ketika itu tidak ada istilah ‘merdeka’ atau ‘kemerdekaan,’ maka semua gagasan perjuangan ulamak membawa maksud yang sama – membebaskan Tanah Melayu dari cengkaman penjajah.

Bersemangat patriotik atas landasan agama supaya memelihara tanah air, para ulamak yang berjiwa pahlawan seperti Tok Janggut sudah bangkit menentang penjajah sejak tahun 1909 lagi, kemudian Haji Abdul Rahman Limbong pula menyambung pada tahun 1919. 

Begitu juga nama Tok Gajah, Datok Bahaman, Mat Kilau dan barisan nama pejuang yang tidak didendang ini menentang tindakan penjajah yang tidak selari dengan adat dan agama. Pohon pembebasan yang ditanam sejak awal abad ke-20 itu disiram bajai pula oleh pewaris ulamak selepasnya agar terus subur.

Hal itu membuktikan titik mula perjuangan kemerdekaan dicetuskan oleh golongan ulamak. Mereka rapat dengan orang kampung dan pedalaman pada zaman penjajah mempunyai pengaruh besar dalam membangkitkan kesedaran menjaga dan memelihara maruah dan tanah air.

Kedatangan penjajah ke Tanah Melayu pada masa itu walaupun secara liciknya diuar-uarkan sebagai membantu pentadbiran negara yang agak kucar-kacir dapat dianalisa oleh golongan ulamak sebagai pencerobohan dengan tujuan meratah hasil bumi, kebanggaan menakluki dan mengembangkan agama (Gold, Glory and God).

Penentangan terhadap penjajahan di Melaka dan negeri-negeri Melayu yang lain daripada kuasa Portugis, Belanda dan Siam begitu hebat dan rancak di bawah pimpinan para ulamak. Ramai antara mereka terkorban atau dibuang negeri.

Di samping berjuang dengan mata pedang, mereka juga aktif meniupkan semangat juang kepada anak bangsa melalui mata pena. Seruan-seruan jihad dan kemerdekaan dilaung melalui tulisan di surat khabar, selain melalui ceramah dan mengadakan siri demonstrasi sehingga masyarakat bangkit menentang penjajahan dan kezaliman.

Lebih daripada itu, kejayaan mereka mendidik masyarakat dengan pendidikan agama bagi mengamalkan ajaran Islam yang sebenar sebagai pegangan hidup dan membenteng diri daripada fahaman-fahaman yang boleh menjejaskan akidah sangatlah besar dalam sejarah tanah air.

Hidup diperhambakan dalam keadaan segalanya serba susah dan sukar memungkin sesiapa sahaja sanggup menggadaikan agama dan maruah demi sesuap nasi. Golongan ulamak pejuang inilah yang menjadi sumber ‘healing’ masyarakat dalam huru-hara perang yang tidak berkesudahan, atau menjadi tempat rujuk mereka mengambil sikap dan berpihak.

Dengan kemerdekaan, perjuangan golongan ulamak menjadi titik tolak penting ke arah penghayatan nilai Islam.  Hal itu dapat dizahirkan dengan lebih bebas tanpa gangguan kuasa luar. 

Namun begitu pejuang dari kalangan ulamak telah dilabelkan penjajah sebagai pejuang kiri yang mendokong idealisme komunis.  Label yang sedemikian telah membunuh karakter ulamak dan mewajarkan pihak penjajah memerangi golongan berkenaan.

Maka nama-nama pejuang kemerdekaan dalam kalangan ulamak tidak begitu dikenali oleh generasi baharu terutama yang lahir selepas negara mencapai kemerdekaan. Sebaliknya golongan politik yang kelihatan lebih menonjol dalam memperjuangkan kemerdekaan.

Ulamak pada zaman tersebut telah telah lama memandu arah bangsa dan negara ke arah hidup berperadaban sepatutnya menjadi ikutan dalam gerak kerja memajukan negara ini dari sebarang bentuk penjajahan; sama ada penjajahan minda dan fizikal.

Gambar: Ulamak pejuang kemerdekaan Tanah Melayu, Mat Kilau (kiri) dan Tok Janggut (kanan).

(93)

By Rokiah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *