Upacara ‘unboxing’ pasangan pengantin zaman dulu-dulu

PERKATAAN ‘unboxing’ kembali hangat mutakhir ini ekoran video tular pasangan pengantin baru yang melakukan upacara ‘unboxing’ pengantin perempuan. Jika istilah ‘unboxing’ sebelumnya merujuk kepada barangan, dengan adanya perbuatan pasangan itu, ia juga telah dirujuk kepada ‘unboxing’ manusia.

Ramai yang mula menulis seputar isu ini di laman media sosial masing-masing, antaranya pemilik laman Facebook Wan Aribah Wan Hassan berkongsi kisah ‘unboxing’ pada zaman beliau menjadi pengantin hampir 25 tahun lalu.

“Waktu saya belum kahwin, malam pertama hari perkahwinan kakak-kakak memang ditunggu-tunggu. Saya ada lima kakak, tiga abang dan seorang adik lelaki.

Dulu, kenduri kahwin pihak perempuan lebih meriah berbanding kenduri ‘sambut menantu’ sebelah lelaki. Jadi bagi saya, anak nombor sembilan daripada sepuluh adik beradik memang menunggu-nunggu upacara ‘unboxing’ pada sesi malamnya.

Wan Aribah Wan Hassan (kiri sekali) bersama suami serta anak-anak saudara sedang ‘unboxing’ hadiah-hadiah dari tetamu kepada pengantin.

Keterujaannya adalah apabila melihat susunan tinggi hadiah pemberian tetamu yang datang. Memandangkan Almarhum ayah saya tidak ‘bekwoh’ aka tidak ‘ngele’ aka tiada ‘salam kaut’ (menerima pemberian duit), ada dalam kalangan tetamu yang agak berkemampuan akan datang bawa hadiah buat pengantin kerana mereka sudah faham – jika dihulurkan duit, ibubapa saya tidak menerimanya.

Teruja betul saya ber’unboxing’ dengan kakak-kakak. Kalau ada pembalut hadiah yang cantik-cantik, mesti bukanya berhati-hati dan simpan elok-elok. Nanti boleh diguna semula untuk balut buku atau hadiah, sesuatu kebanggaan yang boleh ditunjukkan kepada kawan-kawan.

Upacara ‘unboxing’ hadiah biasanya diadakan pada waktu malam selepas kenduri selesai, disertai ahli keluarga terutamanya kanak-kanak yang berminat menyaksikan pelbagai hadiah yang diperolehi pengantin.

Apabila tiba giliran perkahwinan saya dengan suami, upacara ‘unboxing’ malam itu memang ditunggu-tunggu. Oleh kerana saya anak perempuan bongsu, keterujaan ini dikongsikan dengan anak-anak saudara kesayangan.

‘Unboxing’ macam ini harus, malah mungkin digalakkan,” tulis beliau.

Gambar: Wan Aribah (kiri sekali) bersama suami dan anak-anak saudara sedang ‘unboxing’ hadiah yang diterima sempena perkahwinannya.

(11)

Upacara ‘unboxing’ pasangan pengantin zaman dulu-dulu

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>