Usah bazir masa cabut kemuncup, raikan perbezaan pendapat dengan adab

ILMU dapat menyuluh kita memilih jalan benar dalam kehidupan, adab pula mendidik jiwa untuk menjalani kehidupan penuh kesejahteraan dan harmoni.

Kedua-dua perkara ini sangat utama dalam menjayakan masyarakat yang bertamadun kerana ilmu tanpa adab hanya akan melahirkan sebuah negara yang masyarakatnya maju tanpa nilai-nilai murni. Lebih bahaya, dalam jangka masa panjang ia akan meretakkqn perpaduan terutama dalam negara pelbagai kaum dan pegangan agama kerana sudah tentu persoalan perbezaan pendapat akan aktif berlaku dalam latar negara seperti ini.

Adab perbezaan pendapat bermaksud cara-cara yang baik dan sopan untuk berdebat atau berbincang tentang sesuatu isu yang mempunyai pandangan yang berbeza. Adab ini penting untuk dijaga dalam Islam kerana ia cerminan kematangan dan kesopanan dalam berdialog selain dapat mengelakkan perselisihan, permusuhan dan merobek perpaduan dalam kalangan umat Islam.

Bayangkan sekiranya para pejuang tanah air dahulu yang memikul tanggungjawab besar mempertahankan agama, bangsa dan negara asyik bertelagah sesama sendiri atas perkara yang bukan bersifat akidah dan jihad, sudah tentu usaha dakwah dan pendidikan mendidik umat dan perjuangan panjang membebaskan tanah air akan terganggu.

Salah satu adegan dalam telefilem Pak Ngah Haji Omar siaran AlHijrah Plus tentang perjuangan tanah air dan semangat perpaduan dalam masyarakat zaman sebelum kemerdekaan.

Walaupun tidak dinafikan terdapat perbezaan ideologi antara mereka, hasrat mencapai kemerdekaan lebih diutamakan berbanding mengaduk masalah peribadi dalam perjuangan mereka. Ini kerana kebijaksaan dalam mengesan strategi musuh tanah air yang sentiasa mengusahakan keretakan penyatuan untuk mengekalkan huru-hara yang menjadi tonggak kekuatan mereka.

Mutakhir ini kita perhatikan semakin banyak isu perselisihan pendapat yang kebanyakannya bersifat ‘ranting’ dan ‘malar segar’ seperti percakaran dalam isu mazhab, pertikaian dalam politik kepartian yang sempit hatta persoalan ‘mazhab’ sejarah yang didebatkan tanpa ilmu dalam media sosial secara berleluasa.

Pelbagai label dan gelaran yang kadangkala bersifat kebudak-budakan terhadap seteru dilontarkan tanpa adab dan penuh kebencian menjadi tatapan pelbagai lapisan masyarakat tanpa sekelumit rasa tanggungjawab; mewujudkan fenomena perpecahan yang tidak berpenghujung.

Justeru itu, gesaan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya masyarakat mengamalkan budaya bersedia bersetuju dan tidak bersetuju dalam suasana yang penuh hikmah dan kebijaksanaan perlulah disambut dengan tulus hati.

Saranan beliau kepada umat Islam supaya menangani perbezaan pendapat dengan baik, dengan adab, dengan susila sepertimana yang diajarkan Islam dan diwarisi oleh budaya timur perlulah diserap oleh setiap warga Malaysia untuk lebih matang dalam menghadapi situasi perbezaan.

Begitu juga peringatan beliau agar umat Islam sentiasa tetap bersatu padu, memiliki waḥdatul fikri (kesatuan fikiran), dan tidak membawa keegoan serta ketaksuban ketika menangani perbezaan pendapat wajarlah kita fikirkan bersama dengan penerimaan yang mengutamakan manfaat perpaduan umat.

Umpama pengembara melintasi sebuah padang dipenuhi kemuncup pada suatu rembang petang untuk menuju destinasi hijrah yang menjanjikan kejayaan, siapakah yang rugi sekiranya masa berharga disia-siakan untuk mencabut kemuncup yang hanya mencucuk sebahagian betis kita? Sedarlah, malam hampir tiba!

(58)

Usah bazir masa cabut kemuncup, raikan perbezaan pendapat dengan adab

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>