Wanita derma buah pinggang selamatkan anak kenalan

OLEH: DR VANITHA THURAIRASU

TELEFILEM yang dibintangi oleh pelakon-pelakon handalan ini berjaya membangkitkan pelbagai emosi suka dan duka. Cerita ini mengisahkan kehidupan seorang wanita dalam lingkungan usia 40-an yang bernama Siti Khadijah. Dia merupakan seorang muslimah yang solehah dan berakhlak mulia.

Walaupun Khadijah reda dengan pemergian suaminya dua tahun lalu, dia masih memegang amanat arwah, yakni memelihara anak-anak yatim piatu yang tidak sempurna kehidupannya. Anak angkat sulungnya Amira memiliki perwatakan yang rajin dan penyayang manakala adiknya Adib agak nakal dan manja. Merekalah penyeri kehidupan Khadijah yang juga merupakan seorang pemilik kedai dobi.

Walaupun perniagaannya bertahap sederhana, rezekinya cukup untuk menyediakan rumah tangga kelas pertengahan yang bahagia. Pada permulaan plot, Khadijah dipertemukan dengan Qalisha di sebuah pasar tani, iaitu tempat Qalisha bekerja. Qalisha merupakan seorang ibu tunggal dengan satu-satu anaknya yang bernama Intan.

Hidupnya ditimpa musibah apabila Intan disahkan menghidap penyakit buah pinggang dan terpaksa menunggu giliran untuk mendapatkan penderma organ yang sesuai. Di kala penungguan yang pilu, Intan sering jatuh sakit dan terpaksa ditahan wad.

Lakon layar ini menyelitkan adegan-adegan yang menggambarkan keikhlasan kasih sayang seorang ibu yang menyentuh hati. Para penonton bakal tercuit hati dengan penampilan watak Faiz iaitu seorang pemuda dan pelanggan setia kedai dobi Khadijah. Faiz teruja sewaktu pertama kali melihat Khadijah.

Sejak itu, dia sering cuba mendekatinya tetapi Khadijah terpaksa mengelak kerana berasa jurang perbezaan usia mereka agak ketara. Namun, Faiz cekal dalam menambat hatinya melalui sikapnya yang baik dan penyabar.

Siti Khadijah sanggup mendermakan buah pinggangnya kepada seorang kanak-kanak, Intan yang tiada kaitan darah dengannya atas dasar kasih sayang.

Pertemuan kedua Khadijah dan Qalisha secara kebetulan membuka peluang untuk merapatkan ukhuwah dan saling berkenalan. Apatah lagi dengan sifat Khadijah yang peramah, Qalisha terkilan dengan ketulusannya dalam mengasuh anak-anak yatim piatu bagaikan anak sendiri.

Skrip bertambah saspens apabila Qalisha mendapat tawaran kursus untuk menjadi guru taska kerajaan dan perlu berjauhan dengan anaknya yang sakit. Maka, dia tergerak hati untuk meminta bantuan Khadijah untuk menumpangkan Intan di rumahnya sementara mengikuti kursus yang bakal mengubah cara penghidupannya sekarang.

Tanpa berfikir panjang, Khadijah bersetuju menjaga Intan dengan sebaiknya. Akan tetapi, Khadijah mahupun Intan sendiri tidak tahu mengenai penyakitnya itu. Reaksi persis seorang kanak-kanak diterapkan dalam lakon layar ini apabila Intan pada awalnya berasa kekok dan tidak pandai menyesuaikan diri di situ. Namun, lama-kelamaan, kasih sayang Khadijah yang ikhlas mengubah kelakuannya secara beransur-ansur.

Pada suatu hari, Intan dibawa ke hospital kerana sering sakit. Ketika itulah doktor memberitahu Khadijah mengenai penyakit Intan. Sifat mulianya terserlah lagi apabila dia memutuskan untuk menderma buah pinggangnya kepada Intan. Lalu, pembedahan pun berjalan lancar.

Setelah Qalisha pulang berkursus, dia ditimpa dugaan lagi apabila menerima notis untuk meninggalkan rumah flat yang dihuni kerana mempunyai bayaran tertunggak. Tambahan pula, dia bermimpi ngeri mengenai anaknya, seolah-olah mendapat petunjuk untuk lekas berjumpa dengannya.

Lalu, selepas berjumpa dengan Khadijah, barulah dia sedar bahawa Khadijah telah menderma buah pinggangnya kepada Intan demi menyelamatkan nyawanya. Qalisha begitu terharu dengan kemuliaan Khadijah. Khadijah juga mempelawa Qalisha untuk tinggal bersamanya sambil bekerja di kedai dobinya.

Di pengakhiran cerita, Faiz jujur meluahkan hasratnya untuk membawa hubungannya dengan Khadijah ke jinjang pelamin. Senyuman manis Khadijah yang berbaurkan perasaan malu mengisyaratkan persetujuannya yang membawa kepada kesudahan yang indah.

Gambar: Intan sering sakit sebelum menerima buah pinggang yang didermakan Siti Khadijah. (Tangkap layar dari adegan dalam drama Sejernih Hati Khadijah di AlHijrah Plus)

* Penulis adalah Pemenang Hadiah Sagu hati Pertandingan Menulis Review Rancangan Alhijrah Plus.

(31)

Wanita derma buah pinggang selamatkan anak kenalan

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>