Wanita menginjak usia emas tabah jaga tiga beradik OKU terlantar sejak berpuluh tahun, risau tiada penjaga sekiranya beliau ‘pergi dahulu’

BUKAN mudah untuk wanita ini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga yang perlu menguruskan tiga Orang Kurang Upaya (OKU) apatah lagi dengan kudrat yang tidak seberapa dalam menginjak usia emas. 

Namun, perumpamaan ‘alah bisa tegal biasa’ amat sesuai untuk menggambarkan situasi dihadapi Azizah Mohamad, 58, yang sentiasa sabar melayan karenah dua kakak dan adik istimewa yang berada di bawah jagaannya sejak lebih 30 tahun lalu selepas kedua-dua ibubapanya meninggal dunia.

Beliau kini memikul tanggungjawab menguruskan dua kakak iaitu Zaiton,67; Habesah,62 dan adik, Noorlia,54, yang lumpuh seluruh badan akibat serangan demam panas ketika masing-masing berusia dua tahun.

Seawal usia 17 tahun lagi Azizah sudah keluar bekerja untuk membantu meringankan beban ditanggung kedua-dua ibubapanya memandangkan mereka bukan orang berada. Beliau pernah bekerja sebagai operator pengeluaran, atendan pam minyak dan juruwang.

Setiap kali selesai syif, beliau akan segera pulang ke rumah untuk membantu ibunya menguruskan ketiga-tiga adik-beradiknya pula. Namun, Azizah terpaksa berhenti kerja kira-kira 10 tahun lalu selepas kesihatan ibunya semakin merosot dan tiada sesiapa yang boleh diharapkan untuk menguruskan ketiga-tiga adik beradiknya yang terlantar.

Zaiton yang lumpuh seluruh badan akibat demam panas sewaktu berusia dua tahun terpaksa disuap makanan dan minuman
oleh adiknya Azizah.

Selepas ibunya meninggal dunia pada tahun 2016, berbekalkan kudrat yang masih bersisa, Azizah tabah menguruskan ketiga-tiga adik beradiknya yang sentiasa memerlukan perhatian. Rutin hariannya bermula seawal pagi di mana ketiga-tiganya akan dimandikan terlebih dahulu sebelum menyuapkan mereka sarapan yang disediakannya. 

Walaupun tiada pendapatan berikutan tidak dapat keluar bekerja, namun, Azizah amat bersyukur kerana bantuan bulanan yang diterima oleh Zaiton, Habesah dan Noriah sebanyak RM500 seorang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain pencen arwah bapanya banyak membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung memandangkan ketiga-tiga adik beradiknya menggunakan lampin pakai bulan yang mencecah RM600 sebulan. 

Berbicara mengenai masa depan, Azizah yang turut menjual sabun pencuci untuk menambah pendapatan berkata, kedua-dua kakak dan adiknya akan dijaga selagi hayat dikandung badan.

Wanita ini bimbang memikirkan nasib adik beradiknya sekiranya dia ditakdirkan Ilahi ‘menutup mata’ terlebih dahulu. Dia resah memikirkan siapa yang akan menjaga mereka, namun, dia hanya berserah kerana percaya Allah SWT adalah sebaik-baik perancang dan dia reda dengan segala ketentuan yang ditetapkan-Nya.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 52 atau  terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Azizah melayan karenah kakak dan adiknya yang terlantar akibat serangan demam panas ketika berusia dua tahun ketika di kunjungi Suara Asnaf di kediaman mereka di Kampung Teluk, Sungai Dua, Seberang Perai, baru-baru ini.

(9)

Wanita menginjak usia emas tabah jaga tiga beradik OKU terlantar sejak berpuluh tahun, risau tiada penjaga sekiranya beliau ‘pergi dahulu’

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>