October 7, 2024 9:59 PM
LOGO-HBIT

Warga emas derita kanser lidah rayu bantuan susu, lampin pakai buang

ZAITON Othman, 60, tidak pernah patah semangat biarpun menderita kanser lidah tahap empat. Walaupun Zaiton kini hanya mampu terlantar di atas katil di rumah sewa anak angkatnya, Nurhidayah Ismail, 29, namun warga emas ini percaya beliau boleh sembuh satu hari nanti.

Zaiton kini tidak lagi mampu bercakap, sebaliknya hanya menggunakan isyarat tangan untuk berkomunikasi ekoran sel kanser yang merebak menyebabkan bahagian dalam mulutnya semakin terhakis selain merosakkan peti suaranya. Keadaan itu juga menyebabkan Zaiton tidak lagi dapat menjamah sebarang makanan kecuali hanya minum susu yang disalurkan menggunakan tiub khas di bahagian hidungnya sebanyak lima kali sehari.

Zaiton yang menderita kanser lidah tahap empat kini terlantar dan tidak lagi mampu bercakap selepas sel kanser yang merebak menyebabkan peti suaranya rosak.

Namun, Nurhidayah yang hanya membantu suami berniaga roti canai berdepan masalah kewangan memandangkan harga susu yang mahal.  Nurhidayah perlu membeli sekurang-kurangnya lima tin susu yang berharga lebih RM100 setiap bulan bagi memenuhi keperluan Zaiton. Selain susu, beliau juga perlu menyediakan lampin pakai buang selain menanggung kos rawatan radioterapi yang mencecah RM500, tidak termasuk bayaran sewa rumah sebanyak RM250, perbelanjaan harian dan persekolahan empat anaknya yang berusia antara empat sehingga 12 tahun.

Pendapatan suami isteri ini terjejas ekoran tidak dapat berniaga kerana perlu memantau keadaan Zaiton setiap masa memandangkan kesihatannya semakin merosot sejak kebelakangan ini. Disebabkan itu, Nurhidayah amat berharap ada pihak sudi meringankan beban dengan memberi bantuan susu dan lampin pakai buang untuk kegunaan Zaiton.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 81 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Nurhidayah membantu Zaiton minum susu khas yang disalurkan menggunakan tiub khas di bahagian hidungnya.