Wariskan seni warisan Islam, TV AlHijrah jadi perintis popularkan marhaban

KEHARMONIAN suara seia sekata dalam satu kumpulan yang mengulang selawat dan salam kepada Baginda Rasulullah SAW serta pesan dan nasihat kepada umat dalam alunan marhaban menjadi lambang perpaduan dan penyatuan ummah.

Sebagaimana ayah yang menasihati anaknya untuk memilih ikon contoh yang berperibadi mulia, peserta marhaban menitipkan pesan melalui bait-bait lagu dan irama marhaban dan qasidah kepada generasi pelapis.

Inilah warisan seni turun-temurun yang sepatutnya dipelihara dan dilestari agar medium ikatan cinta sesama insan didasari cinta kepada Rasulullah terus menjadi pilihan berhibur berlandaskan agama. Ia menjadi pengikat dua generasi yang sering terpisah oleh perbezaan latar teknologi; kembali bersatu dalam mengingat kekasih Ilahi.

Menjadi perintis seni warisan ini, TV AlHijrah cuba menyemarakkan kembali seni berzanji, marhaban dan qasidah ke kaca televisyen serta pelantar lain dengan menganjurkan rancangan terbaharu Pentas Marhaban.

Membawa slogan “Hiburan Tradisi Nurani”, marhaban diangkat untuk memperkenalkan seni suara spiritual kepada golongan pelapis muda secara umum dan kepada mereka yang cintakan seni warisan Islam.

Ini kerana marhaban pada suatu ketika dahulu sangat dekat di hati orang Islam, cuma kurang dipopularkan untuk mendapat sambutan arus perdana. Penggemar marhaban kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berusia kerana kurangnya pendedahan kepada golongan muda dan pelapis- pelapis baru. Begitu juga, tiada platform baharu untuk mengetengahkan seni marhaban dan qasidah kepada umum.

Untuk memberi nilai tambah dan menarik minat para remaja dekat kepada seni ini, kebebasan membuat persembahan dengan teknik dan kreativiti tersendiri dijadikan kriteria penilaian dan pemarkahan supaya ia lebih bersifat kontemporari.

Pemilihan ‘look n feel’ berkonsepkan retro mampu mengembalikan penonton ke zaman harumnya bunga seni marhaban yang menjadi pilihan persembahan nenek moyang kita menghiburkan diri secara berfaedah, menyampaikan dakwah dan rasa cinta kepada Rasulullah.

Sosok ‘qudwah hasanah’ yang menjadi rujukan para ibu bapa ini seterusnya menjadi contoh anak anak untuk menjadikan ibu bapa mereka idola dan menimbulkan rasa cinta mereka kepada orang tua.

Hubungan ini juga dimanifestasikan melalui konsep rancangan di mana dua pasukan yang terdiri dari pasukan anak muda berentap dengan pasukan dewasa, sengaja dipadankan untuk mewujudkan simbol pertalian generasi. Pada masa sama ia bertujuan menilai persamaan rentak dan perbezaan irama lantaran jurang usia serta mencari titik temu kedua-dua mereka.

Sebagai sebuah program realiti, Pentas Marhaban yang mengandungi keseluruhan lapan episod termasuk prelude dan peringkat akhir ini tidak dapat lari dari konsep persaingan secara mingguan.

Sejumlah 12 kumpulan yang akan menyertai Pentas Marhaban ini terdiri daripada mereka yang akan dipilih oleh juri dalam sesi ujibakat di TV AlHijrah pada Sabtu dan Ahad, 7 dan 8 Oktober ini; juga penilaian melalui video yang dimuat turun di media sosial masing-masing dengan tanda pagar #marhabantvalhijrah.

Kumpulan ini nanti akan dipecahkan kepada dua kumpulan sahaja yang bakal bertanding setiap minggu selama enam minggu. Setiap episod akan memilih juara mingguan, di mana 2 juara yang mendapat markah tertinggi akan ke peringkat akhir.

Selain itu, Pentas Marhaban juga lebih menfokuskan kepada bentuk persembahan melalui kreativiti setiap kumpulan. Setiap persembahan perlu mempunyai tiga elemen utama iaitu berzanji, marhaban dan qasidah. Terdapat sesi penjurian daripada juri tetap, juri jemputan dan juga juri awam.

Walaupun ia berkonsepkan pertandingan, Pentas Marhaban tidak akan lari dari matlamat utamanya memupuk kecintaan kepada Rasulullah. TV AlHijrah berusaha membawa para peserta untuk disatukan di atas pentas dalam menzahirkan rasa cinta dan ingatan berpanjangan itu.

Gambar hiasan: Peserta marhaban biasanya memakai pakaian sedondon sewaktu menyampaikan persembahan.

(206)

Wariskan seni warisan Islam, TV AlHijrah jadi perintis popularkan marhaban

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>