July 27, 2024 4:25 PM
LOGO-HBIT

“Sangka baik dan sandarkan hidup pada Allah, setiap orang ada ujian masing-masing,” pesan Asiyah insan senasib Haikal yang kehilangan bapa sewaktu peperiksaan SPM

BERITA berpulangnya bapa Muhammad Haikal Iskandar Zamry, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang menduduki peperiksaan itu tahun ini mengembalikan ingatan saya kepada kisah yang dialami Asiyah Mutiah, calon SPM dua tahun lepas yang kematian bapa pada hari peperiksaan.

“Kesedihan sewaktu pemergian ayah memang tidak mampu ditanggung dan sehingga sekarang kepedihan itu masih terasa, tidak pernah hilang. Tapi dalam setiap ujian yang Allah bagi, mesti akan terselit hikmah yang kita tidak nampak tapi sebaliknya kita kena cari. Apabila kita jumpa hikmah itu, kita akan rasa bersyukur dengan ujian Allah itu,” luah Asiyah sewaktu dihubungi Hbit hari ini.

Asiyah Mutiah Mohd Nasir baru sahaja selesai menjawab soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk hari terakhir pada hari pemergian bapanya. Ada dua lagi kertas pada sesi petang yang perlu dihadapi.

Asiyah yang tinggal di asrama pulang ke rumah dalam keadaan masih berpakaian seragam untuk mengucapkan salam terakhir kepada ayahnya. Wajah-wajah muram menyelubungi rumahnya sebaik sahaja dia tiba. Masing-masing bimbang dia akan menangis tak berkesudahan dan terpaksa membatalkan peperiksaan petang nanti, hanya beberapa jam lagi akan berlangsung.

Asiyah Mutiáh ketika menerima keputusan peperiksaan SPM daripada gurunya tahun lalu. Beliau memperolehi keputusan cemerlang walaupun menduduki peperiksaan dalam keadaan diuji kesedihan kematian ayah sewaktu peperiksaan.

Ternyata dia muda pada usia, tapi matang dalam mengawal emosi dan kuat mental. Asiyah kuatkan hati, pasrah meninggalkan jenazah ayahnya yang belum disemadikan kerana perlu menapak ke dewan peperiksaan. Saat itulah pertemuan terakhir dengan almarhum ayahanda tercinta.

Kini Asiyah Mutiah sedang menyambung pelajaran di Pusat Asasi Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sila klik di sini untuk baca kisah Asiyah Mutiáh yang kehilangan ayah sewaktu menduduki SPM.

“Bila kita hilang orang kita sayang, secara automatiknya kita akan belajar bahawa segala kebergantungan kita hidup di bumi ini kita perlu sandarkan kepada Allah sahaja sebab yang mematikan dan yang menghidupkan hanyalah hak Allah. Jadi, kita yang masih hidup ini mesti teruskan kehidupan, kena letakkan Allah sebagai matlamat utama, jadi Insha Allah, Allah akan memudahkan setiap urusan kita,” pesan Asiyah kepada Haikal ketika diminta memberi titipan kepada rakan yang senasib dengannya itu.

Kisah pilu yang menimpa Haikal hampir sama dengan apa yang pernah dirasai Asiyah, kedua-dua mereka kehilangan ayah pada waktu mereka perlu semangat dan kata-kata keramat dari insan tersayang; suatu keadaan yang memerlukan hati kental dan jiwa yang tabah.

Haikal bernasib baik kerana van yang membawa jenazah bapanya singgah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru untuk memberi kesempatan kepada Haikal bertemu ayahnya.

“Kita yang masih hidup ini mesti teruskan kehidupan, kena letakkan Allah sebagai matlamat utama, jadi Insha Allah, Allah akan memudahkan setiap urusan kita,” pesan Asiyah kepada Haikal ketika diminta memberi titipan kepada rakan yang senasib dengannya itu.

Walaupun kedua-dua mereka berkesempatan menatap kali terakhir wajah ayah, mereka berkongsi kepiluan yang sama – tidak punya kesempatan untuk hadir ke upacara pengebumian ayah sendiri.

“Satu lagi, kita kena bersangka baik dengan Allah. Tidak dapat dinafikan, kadang kadang akan timbul rasa Allah tidak adil, tapi kena ingat ada orang yang dapat ujian lagi berat dari kita. Mungkin kita tengok kawan kita ada ayah, tapi tiada pendapatan yang banyak. Jadi, setiap orang ada ujian masing-masing dan setiap ujian tu mematangkan kita dan akan mendekatkan kita dengan Allah. Allah tidak bebankan seseorang melainkan dengan apa yang terdaya olehnya,” saran Asiyah.

Semoga kata-kata Asiyah ini bakal menjadi pendorong kepada Haikal, anak sulung dari tiga beradik dengan latar belakang keluarga kurang berkemampuan ini terus melangkah gagah mendepani hari demi bonda dan adik-beradiknya.

Gambar: Muhammad Haikal Iskandar Zamry, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkesempatan memeluk kali terakhir jenazah bapanya dalam van jenazah yang singgah di sekolahnya.